Menteri Kewangan saran rakyat manfaat dana kerajaan pasar produk secara online

JEMPOL, 14 Feb — Peniaga disaran memanfaatkan sepenuhnya dana yang disediakan kerajaan untuk memasarkan produk mereka secara dalam talian, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz.

Beliau berkata ketika negara berada dalam fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan bagi membendung penularan COVID-19, kesempatan itu seharusnya dimanfaatkan peniaga bagi menjana pendapatan.

“Hari ini saya melawat usahawan di bawah Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA)… kita nak lihat sendiri bagaimana pengusaha IKS (Industri Kecil dan Sederhana) telah berjaya menghasilkan produk-produk, insya-Allah dapat dipasarkan.

“Saranan saya kepada usahawan semasa PKP ini, mereka sepatutnya mengambil peluang itu dengan memulakan perusahaan dan tidak berputus asa. Kita dapat melihat perniagaan dalam talian, kerajaan telah membantu dengan memberi dana untuk peniaga memulakan perniagaan dalam talian,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas melawat dua usahawan di bawah Program Aktiviti Ekonomi Tambahan (AET) di Kampung Serting Ilir. Turut hadir Pengerusi RISDA Datuk Mohd Salim Sharif.

AET adalah program di bawah RISDA yang bertujuan menggalakkan pekebun kecil menceburi bidang keusahawanan bagi menjana pendapatan tambahan.

Tengku Zafrul kemudian merasmikan Pusat Program Pembelajaran Digital dan Multimedia di sini yang menyediakan kemudahan Internet bagi keperluan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).

Menteri Kewangan itu, yang dalam lawatan kerja ke daerah Jempol, turut menyerahkan sumbangan tablet kepada 20 pelajar sekolah rendah dan menengah daripada keluarga kurang berkemampuan (B40).

Pengurus pusat berkenaan Nurul Azma Shafiqah Khairul Azhar pula berkata buat masa ini, pusat tersebut dilengkapi tujuh komputer riba dan sebuah Televisyen Pintar bagi kegunaan PdPR.

“Pusat ini baru beroperasi minggu lepas dengan tumpuan kepada keluarga yang mempunyai anak ramai serta tidak cukup peranti bagi keperluan PdPR.

“Sambutan menggalakkan dan pusat ini mampu memuatkan seramai 10 pelajar dengan mengambil kira penjarakan fizikal,” katanya sambil menambah pusat itu beroperasi dari Isnin hingga Jumaat bermula 8.30 pagi hingga 5 petang.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: