Categories
Kesihatan Negara

Muhyiddin orang pertama suntik, jaminan kepada rakyat terhadap keselamatan vaksin

KUALA LUMPUR,  16 Feb — Malaysia bersedia untuk memulakan program vaksinasi terbesar yang pernah dilaksanakannya pada 26 Feb, dalam usaha melindungi penduduk daripada jangkitan COVID-19.

Penghantaran pertama vaksin dijadualkan tiba pada 21 Feb.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin akan menjadi orang pertama menerima suntikan vaksin itu pada 26 Feb, bersama-sama petugas barisan hadapan, di bawah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang dijadualkan berlangsung sehingga Februari tahun depan.

Beliau menjelaskan proses berkenaan semasa melancarkan Buku Panduan mengenai program imunisasi itu yang menerapkan pendekatan seluruh kerajaan dan seluruh masyarakat. Buku panduan dengan slogan Lindung Diri, Lindung Semua, boleh dimuat turun menerusi laman web www.vaksincovid.gov.my.

Buku panduan itu memperincikan program imunisasi berkenaan dan akan menjadi sumber rujukan kepada penggubal dasar dan pelaksana serta rakyat, kata beliau.

“Saya dengan sukacitanya memaklumkan bahawa vaksin Pfizer-BioNTech akan sampai di Malaysia pada 21 Feb 2021.

“Selanjutnya, roll-out pelaksanaan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan bermula pada 26 Feb 2021, di mana saya sendiri akan menerima suntikan vaksin pada hari tersebut bersama-sama petugas barisan hadapan,” kata perdana menteri semasa melancarkan buku panduan itu secara maya yang disiarkan secara langsung di televisyen dan media sosial.

Muhyiddin berkata program imunisasi itu akan dilaksanakan dalam tiga fasa sehingga 22 Feb tahun depan dengan fasa pertama bermula pada 26 Feb hingga April 2021, fasa kedua mulai April hingga Ogos 2021 dan fasa ketiga dari Mei 2021 hingga Februari 2022.

Menurut buku panduan tersebut, 500,000 penduduk akan menerima suntikan pada fasa pertama yang terdiri daripada petugas barisan hadapan yang terdiri daripada petugas kesihatan sektor awam dan swasta serta petugas barisan hadapan dalam perkhidmatan penting dan keselamatan.

Sehingga 9.4 juta penduduk akan dilindungi pada fasa kedua yang terdiri daripada petugas dalam perkhidmatan kesihatan, perkhidmatan penting dan keselamatan serta mereka yang berumur 65 dan ke atas, kumpulan berisiko yang menghidap penyakit kronik seperti penyakit jantung, obesiti, diabetes dan tekanan darah tinggi serta orang kurang upaya.

Kira-kira 13.7 juta penduduk pula disasarkan menerima suntikan itu dalam fasa ketiga yang terdiri daripada mereka yang berumur 18 dan ke atas (warganegara dan bukan warganegara). Keutamaan diberikan kepada zon merah, kuning dan hijau COVID-19.

Muhyiddin berkata program imunisasi menyeluruh ini adalah untuk memastikan imuniti kelompok dapat dibentuk di dalam komuniti agar dapat memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19 sekali gus diharap dapat menamatkan pandemik COVID-19.

“Ringkasnya, vaksinasi amat penting untuk kita melindungi bukan sahaja diri sendiri, tetapi juga orang tersayang iaitu ahli keluarga, rakan kerja, jiran sekeliling dan seluruh komuniti.

“Inilah juga maksud slogan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang saya perkenalkan secara rasmi hari ini, iaitu Lindung Diri, Lindung Semua,” katanya.

Perdana Menteri berkata apabila semua orang telah dilindungi dan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan ini berjaya dilaksanakan, ia akan memberikan impak positif termasuk membolehkan sektor ekonomi dan pelancongan kembali dibuka. 

“Pelbagai sektor ekonomi akan dibuka semula, seperti pelancongan. Kita boleh saling ziarah-menziarahi, aktiviti bersukan juga boleh kita amalkan, tetapi dengan mengamalkan norma baharu.

“Inilah yang saya maksudkan apabila saya katakan bahawa vaksin COVID-19 adalah antara sinar harapan kita yang paling utama untuk kita menang dalam perang melawan COVID-19.

“Pastinya, satu lembaran baru bakal terbuka dengan bermulanya Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan pada penghujung bulan ini,” kata beliau.

Sehubungan itu, beliau menasihati semua rakyat supaya jangan berlengah untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin dan hadir pada waktu yang telah ditetapkan untuk menerima dos pertama dan dos kedua.

Menurut buku panduan itu yang dikeluarkan Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19, pendaftaran boleh dibuat aplikasi MySejahtera atau laman sesawang khas di www.vaksincovid.gov.my. serta menghubungi talian hotline (akan dimaklumkan kemudian), hadir ke fasiliti klinik kesihatan awam dan swasta, atau menerusi program bantuan bagi penduduk di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Vaksin berkenaan akan ditempatkan di 54 lokasi seluruh negara dan akan dilaksanakan di 605 lokasi.

Setakat bulan ini, Malaysia memperoleh 66.7 juta dos vaksin COVID-19 melalui kemudahan COVAX dari lima pengeluar iaitu Pfizer-BioNTech, AstraZeneca, sinovac, CanSinoBIO dan Sputnik V, according to the handbook.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s