Kerajaan tubuh pasukan khas urus Program Imunisasi COVID-19

PUTRAJAYA, 17 Feb — Kerajaan hari ini mengumumkan penubuhan pasukan petugas khas dikenali sebagai Badan Bertindak Imunisasi COVID-19 (CITF) untuk menguruskan Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Khairy Jamaluddin berkata CITF akan diketuai oleh beliau sendiri selaku Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang akan membuat laporan kepada Jemaah Menteri.

Beliau berkata pasukan pengurusan CITF pula akan diselia oleh dua pengarah bersama iaitu Timbalan Ketua Pengarah Kesihatan (Kesihatan Awam) Datuk Dr Chong Chee Keong dan Timbalan Panglima Tentera Darat Leftenan Jeneral Datuk Mohammad Ab Rahman.

“Struktur CITF menekankan kepada tindakan bersepadu pelbagai kementerian dan badan kerajaan bagi memastikan PICK dapat dilaksanakan dengan kemas, lancar dan teratur dalam mencapai objektifnya.

“Majlis Keselamatan Negara (MKN), Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bertindak sebagai urus setia CITF,” katanya pada sidang media mengenai penyelarasan CITF di sini hari ini.

Sidang media itu turut diadakan secara maya menerusi aplikasi Zoom.

Mengulas lanjut, Khairy berkata CITF telah mengadakan mesyuarat pertama semalam bagi memperincikan penyelarasan bidang tugas, struktur kerja dan perancangan keseluruhan PICK.

Menurutnya, dalam mesyuarat itu MKN turut membentangkan kertas kerja berkaitan Pusat Kawalan CITF di peringkat kebangsaan, negeri dan daerah serta mekanisme penyelarasan yang menghubungkan pelbagai peringkat ini.

Beliau berkata menerusi CITF, perkhidmatan kesihatan yang merangkumi bidang tugasan pengurusan logistik vaksin; pendaftaran; mengenal pasti kategori penerima vaksin; pemantauan pasca vaksinasi; pentadbir vaksin; pusat imunisasi di fasiliti KKM dan pengurusan sumber manusia akan diselaraskan dengan perkhidmatan bukan kesihatan.

“Perkhidmatan bukan kesihatan bertanggungjawab bagi pengurusan logistik (utiliti, tempat letak kereta, ICT dan peralatan bukan ICT); dokumentasi, rekod dan pendaftaran; pengurusan maklumat geodata raya; komunikasi strategik; pentadbir pusat vaksin di fasiliti awam; pengurusan pengangkutan penerima vaksin; pengurusan sumber manusia; bahagian dan agensi dan sukarelawan.

“Bagi tujuan pentadbiran, Bilik Gerakan CITF telah diwujudkan di Aras 3, Blok F1, Parcel F, Presint 1, Putrajaya,” katanya.

Khairy berkata pasukan beruniform termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) akan terlibat sepanjang PICK berlangsung.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: