Categories
Negara

‘Sugar baby’ di universiti, ada pihak ambil kesempatan?

Isu ‘sugar baby’ dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) mengundang perbahasan tentang faktor, kesan serta kaedah menanganinya. Kegiatan sugar baby, sugar daddy, sugar mummy dan yang seangkatan dengannya melibatkan penawaran khidmat seksual dengan balasan wang. Ada yang bertempoh dan ada yang terbuka jangka masanya.

Faktor
Bagi yang terdesak akibat kesempitan, alasan yang digunakan berkisar tentang yuran pengajian dan keluarga yang terjejas sumber pendapatan. Selain itu, ada yang menggalas bebanan mencari nafkah bagi menampung perbelanjaan harian keluarga. Tidak kurang yang berhadapan ibu bapa yang sedang sakit, memerlukan rawatan perubatan mahupun yang telah meninggal dunia.

Namun, tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilalui negara ketika ini mengupayakan kegiatan ini berleluasa. Ia dilihat sebagai suatu peluang untuk mendapatkan wang saku tambahan dan mampu memberi kemewahan ekspres.

Dalam menghadapi pandemik ini, semua IPT memberi pilihan kepada pelajar sama ada untuk berada di dalam kampus atau di luar kampus bergantung pada syarat-syarat pengajian dan status pelajar. Kuliah dalam talian mewujudkan ruang bagi pelajar menjalankan kegiatan yang mereka suka tanpa pemantauan secara berdepan.

Dalam mengakses pelbagai aplikasi untuk pembelajaran dalam talian, pelajar berkesempatan meneroka pelbagai jenis aplikasi percuma yang tersedia dalam Play Store, App Store dan seumpamanya. Antara aplikasi yang mudah dicapai ialah Sugarbook (telah diharamkan baru-baru ini) yang membolehkan pendaftaran dibuat secara percuma.

Pendedahan bahawa kebanyakan IPT di ibu kota menduduki carta teratas bilangan sugar baby menunjukkan ibu kota menjanjikan seribu kepelbagaian dengan pelbagai peluang. PKP yang membatasi pergerakan memberikan rasa ‘selamat’ daripada ditangkap oleh keluarga. Pelajar yang berada di dalam kampus tidak mempunyai waktu terhad untuk keluar masuk ke kampus.

Isu ini bukan lahir daripada pandemik Covid-19 yang melanda. Ia cuma menjadi salah satu faktor platform ini terbuka dengan lebih luas. Penutupan kelab-kelab sosial pada malam hari menyebabkan mereka yang ketagihan beralih kepada aplikasi telefon pintar.

Impak
Terjebak dalam kancah sugar baby ini sukar untuk dihentikan kerana setelah sekali buat, rasa seronok membuak-buak menikmati wang yang banyak, iaitu mampu melebihi gaji graduan lulusan ijazah sarjana muda yang puratanya bermula sekitar RM2,400.

Tidak kurang yang berhenti pengajian kerana gelap mata dengan bayaran dan gaya hidup bebas. Kehamilan luar nikah, kehamilan tidak dirancang, pengguguran janin dan perkahwinan awal juga menjadi kesan ekoran kegiatan ini.

Ada pelajar yang insaf dan cuba kembali ke pangkal jalan. Namun ada yang terjerumus ke lembah ketagihan seks lantas menyulitkan mereka untuk berhenti melakukannya.

Peranan siapa?
Untuk menghentikan wabak sosial yang semakin parah kala pandemik ini melanda, tidak lain dan tidak bukan perlu datangnya daripada pelajar itu sendiri. Kaunselor IPT ialah pakar yang selayaknya menjadi orang yang boleh mendidik jiwa-jiwa muda ini. Kematangan dalam membuat keputusan dan mengambil tindakan pada saat berjauhan daripada mata ibu bapa, ditambah dengan didikan dan persekitaran yang baik menjadi jaring keselamatan daripada terjerumus lebih jauh.

IPT, dalam memberi perhatian terhadap pelajar perempuan, jangan terlepas pandang bahawa kegiatan ini tidak terhad kepada pelajar perempuan, malah turut menular dalam kalangan pelajar lelaki. IPT juga boleh memperkasa adab susila seperti usaha yang dilakukan oleh Universiti Malaysia Pahang (UMP) yang memandang serius perkara ini, dengan memperkenalkan sebuah pusat pembangunan adab untuk mendidik pelajar bernilai murni.

Program seperti kem ibadah boleh dijadikan program berkala di IPT bagi pelajar Muslim dan pendidikan moral kepada pelajar bukan Muslim dilanjutkan ke peringkat yang lebih matang bersesuaian dengan usia pelajar pada peringkat IPT.

Selain itu, pada peringkat luar IPT, Kanun Keseksaan (Akta 574) Seksyen 372B memperuntukkan bahawa orang yang mencari langganan bagi maksud persundalan atau kegiatan tidak bermoral, jika sabit kesalahan, boleh membawa hukuman penjara tidak lebih satu tahun atau denda atau kedua-duanya.

Penulis melihat peruntukan ini boleh diperluas kaedahnya meliputi yang melanggan dan dilanggan iaitu sugar baby dan sugar daddy serta sugar mummy kerana kedua-dua pihak patut bertanggungjawab menjaga diri dan maruah masing-masing.

Akhir kata, isu ini perlu ditangani kerana besar harapan negara untuk didukung oleh graduan IPT yang beradab susila terhadap diri sendiri dan masyarakat. Usaha untuk mengukuhkan pendidikan akhlak dan moral tidak wajar dilihat secara negatif.

Rakyat Malaysia terutamanya kalangan ibu bapa perlu mendukung pendekatan sedemikian agar gejala sosial itu tidak menjadi normal baharu yang kekal setelah berlalunya pandemik Covid-19. Pendekatan mewujudkan kem ibadah, pendidikan akhlak, pendidikan moral bahkan pemulihan adab perlu disahut selaras dengan prinsip Rukun Negara, kesopanan dan kesusilaan.
 
Fadzida Ismail
Pensyarah, Universiti Awam

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s