Kerajaan komited kurangkan pekerja asing dalam industri perikanan

KUALA LUMPUR, 19 Feb — Kerajaan komited mengurangkan kebergantungan terhadap pekerja asing dalam industri perikanan dengan menyediakan program, inisiatif serta kemudahan bagi menggalakkan penglibatan rakyat tempatan.

Jabatan Perikanan dalam satu kenyataan memaklumkan kerajaan memperuntuk RM150 juta kepada Program Pemodenan Vesel dan Mekanisasi Tangkapan Dana Jaminan Makanan untuk transformasi nelayan tradisi ke laut dalam melalui perolehan vesel moden berteknologi tinggi.

“Pengusaha berpeluang menyediakan kemudahan ruang penginapan yang selesa serta komunikasi digital untuk menarik minat pekerja tempatan.

“Selain itu, pemohon mendapat had pembiayaan sehingga 90 peratus daripada kos projek pembinaan vesel moden dengan kadar faedah sebanyak 3.75 peratus bagi tempoh 10 tahun melalui Skim Pembiayaan Bot Perikanan i (SPBP-i) di Agrobank,” menurut kenyataan itu.

Dalam pada itu, melalui program Penjana Kerjaya 2.0 pula pengusaha vesel perikanan laut dalam boleh mengambil peluang menggunakan insentif di bawah skim itu untuk menarik minat pekerja tempatan yang kehilangan pekerjaan akibat COVID-19.

Beliau juga berpeluang mengikuti latihan dalam bidang perikanan tangkapan di Kolej Perikanan Sultan Nazrin Muizzuddin Shah, Perak dan Akademi Perikanan Malaysia di Terengganu yang ditanggung sepenuhnya oleh kerajaan termasuk latihan, kediaman, makan serta elaun RM200 sebulan.

Menurut kenyataan itu, pandemik COVID-19 memberi kesan terhadap pendaratan ikan susulan kekurangan jumlah vesel yang beroperasi ke laut.

Pada tahun lepas, pendaratan ikan merosot sebanyak lima peratus berbanding 2019 dengan jumlah pendaratan sebanyak 1.385 juta tan metrik.

Menurut Jabatan Perikanan, penurunan jumlah operasi vesel laut dalam mengakibatkan pengurangan sebanyak 50,683 tan metrik ikan di seluruh negara iaitu merosot sebanyak lapan peratus berbanding pada 2019.

Bagi Kelantan, pendaratan ikan merosot sebanyak 24 peratus daripada 56,790 tan metrik pada 2019 kepada 43,070 tan metrik pada tahun lepas.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: