Categories
Negara

12,253 unit kediaman Residensi Prihatin dibina – Menteri WP

PUTRAJAYA, 22 Feb — Sebanyak 12,253 unit kediaman dengan keutamaan diberi kepada petugas barisan hadapan bakal dibina di Putrajaya menerusi program ‘Residensi Prihatin’, kata Menteri Wilayah Persekutuan Tan Sri Annuar Musa.

Beliau berkata kementeriannya bekerjasama dengan Perbadanan Putrajaya (PPj) untuk membangunkan kediaman berkeluasan 750 kaki persegi itu, melibatkan 10 tapak projek pembangunan di Presint 5, 7, 11, 16 dan 19.

“Kita beri ruang kepada semua pihak untuk mendapatkan rumah pertama menerusi program Residensi Prihatin ini namun petugas barisan hadapan yang telah berhempas-pulas ketika COVID-19 melanda negara ini akan diberi keutamaan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Residensi Prihatin di kementeriannya di sini, hari ini.

Pada majlis itu juga, syarikat Protasco Development Sdn Bhd menandatangani perjanjian pembangunan bagi pembinaan 1,592 unit kediaman Residensi Prihatin Kenanga dan Melur di Putrajaya yang dijual pada harga RM200,000 seunit, iaitu lebih rendah daripada harga pasaran.

Annuar berkata projek-projek di bawah program Residensi Prihatin itu kini dalam peringkat perancangan dengan pembinaan semua projek dijangka siap sepenuhnya pada 2025. 

Program Residensi Prihatin itu meliputi kemudahan seperti surau, dewan serba guna, tadika, taska, ruang niaga, gelanggang badminton dan tempat letak kereta berbumbung bagi memastikan persekitaran hidup yang lebih kondusif serta berkualiti, katanya. 

“Program ini diharap dapat mengatasi isu kesukaran pemilikan rumah terutama sekali oleh golongan muda. Projek ini akan diperluas ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan kementerian sedang mengenal pasti lokasi strategik,” katanya.

Beliau berkata individu yang lahir, menetap dan bekerja di Wilayah Persekutuan yang berminat untuk memiliki unit Residensi Prihatin boleh membuat pendaftaran secara dalam talian di portal https://residensiprihatin.kwp.gov.my yang dibuka secara rasmi esok.

“Walaupun keutamaan untuk memiliki unit di bawah Residensi Prihatin ini diberi kepada mereka yang berada di Wilayah Persekutuan, kita akan pertimbangkan kepada semua yang membuat permohonan,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s