Kenyataan Istana Negara jelaskan parlimen tidak digantung – Pakar

Kenyataan Istana Negara pada 24 Feb 2021 mengandungi perkenan Yang di-Pertuan Agong untuk memanggil sidang Parlimen jika keadaan mengizinkan dan dinasihati oleh PM, menjelaskan hasrat sebenar proklamasi darurat ialah untuk menangani penularan wabak Covid-19.

Dalam Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 yang diwartakan pada 14 Januari 2021, tiada peruntukan yang menggantung Parlimen atau tegahan mengadakan pilihanraya. Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 hanya menggantung kuat kuasa peruntukan yang menyentuh batasan masa untuk memanggil persidangan Parlimen dan diadakan suatu pilihanraya.

Dalam tempoh darurat yang diisytiharkan sehingga 1 Ogos 2021, Parlimen boleh dipanggil oleh YDPA dan pilihanraya umum boleh diadakan pada tarikh sebagaimana yang difikirkan sesuai oleh YDPA.

Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 menggariskan dengan jelas objektifnya untuk mengadakan kuasa tambahan seperti termaktub dalam seksyen 17 yang berbunyi, “Bagi tempoh darurat berkuat kuasa, kuasa yang diberikan di bawah Ordinan ini adalah tambahan kepada, dan bukanlah sebagai menggantikan, kuasa yang diberikan oleh atau di bawah mana-mana undang-undang bertulis lain yang sedang berkuat kuasa”.

Sekiranya terdapat mana-mana peruntukan dalam undang-undang bertulis termasuklah Perlembagaan Persekutuan yang hendak digantung sementara kuat kuasanya, maka peruntukan khas yang dimaksudkan sedemikian akan dinyatakan secara jelas dalam Ordinan tersebut. Hal seperti tersebut dapat dilihat dalam beberapa peruntukan di bawah Seksyen-seksyen 12, 13, 14 dan 15 Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021.


Subseksyen 12(4) dipetik untuk menunjukkan contoh peruntukan khas itu, iaitu, “Bagi mengelakkan keraguan, selama tempoh darurat berkuat kuasa, Fasal (3) Perkara 55 Perlembagaan Persekutuan hendaklah mempunyai kesan seolah-olah perkataan “selama lima tahun dari tarikh mesyuarat pertamanya dan selepas itu adalah terbubar” telah dipotong”.

Ringkasnya, perkenan YDPA bagi proklamasi darurat dan penggubalan ordinan tersebut jelas tidak menggantung sidang Parlimen. Oleh kerana Perkara 40 Perlembagaan Persekutuan tidak disentuh oleh Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 maka pertimbangan untuk memanggil sidang Parlimen adalah terletak pada Perdana Menteri untuk menasihati baginda.

Kenyataan terbaharu Istana Negara itu sewajarnya diberi perhatian sewajarnya oleh Jemaah Menteri. Di samping itu, perlu dinyatakan bahawa YDPA sudah memperkenankan penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas untuk meneliti dan memantau situasi darurat pada masa kini.

Jawatankuasa Khas Bebas tersebut bukan sahaja berfungsi untuk menyampaikan nasihat kepada YDPA tentang tempoh darurat, malah platform untuk mengukur ketelusan Kerajaan dalam membuat tindakan penting, termasuklah kewajaran menasihati YDPA untuk memanggil sidang Parlimen. Dalam pada itu, ordinan boleh digubal untuk melaksanakan sidang Parlimen dalam bentuk dan prasarana yang sesuai buat waktu ini.

Penulis, Datuk Dr Wan Ahmad Fauzi Wan Husain merupakan Pengasas Jurisprudens Watan dan juga Profesor Madya Universiti Malaysia Pahang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: