Kesan & akibat: Seks luar tabii masih lagi kesalahan jenayah sivil

Dalam sesebuah negara demokrasi moden, harus ada padanya tiga elemen Eksekutif, Legislatif dan Judisiari yang diwujudkan dengan maksud untuk mengawal kuasa agar negara dapat diurustadbir dengan baik, tersusun dan adil ke arah mencapai matlamat negara aman damai dan rakyat mengecapi keharmonian serta negara selamat daripada sebarang ancaman dalam dan luar negara.Sistem perundangan diwujudkan bertujuan untuk mengurus pentadbiran negara dan mendidik warganya. Dua elemen ini berlaku serentak dengan peruntukan peraturan dan tatacara yang ditentukan bersandarkan kepada undang-undang yang telah diwartakan.

Idealnya, Ahli Parlimen dan ADUN selaku Badan Eksekutif dijauhkan daripada menjadi pentadbir dan pengurus perundangan bertujuan supaya elemen pemisahan fungsi berlaku, namun hakikat sebenar pelaksanaannya amat sukar dilakukan oleh Malaysia dan realitinya begitu juga hampir semua negara besar dunia.

Sebagai contoh, Perdana Menteri dan Menteri Kabinet juga Ahli Parlimen yang diberi kuasa Eksekutif sebagai Pelaksana undang-undang yang diluluskan Parlimen. Jadi, hanya Badan Kehakiman (Judisiari) sahaja yang dilihat bebas dan sentiasa menjadi lambang penegak sistem keadilan negara. Dalam hal ini, keputusan para Hakim di Mahkamah akan menjadi precedent perundangan yang penting dan diikat dengan segala peruntukan undang-undang berkaitan sesuatu kes yang dibicarakan di Mahkamah.

Faktor inilah yang akan menjadi penanda aras dalam penghakiman 9-0 Mahkamah Persekutuan pada 25 Februari 2021, lalu apabila dimuktamadkan bahawa pelakuan seks luar tabii oleh pelaku Muslim bukan di bawah bidangkuasa Seksyen 28 Enakmen Jenayah Syariah Negeri Selangor 1995 tetapi ia termasuk dalam bidang kuasa Persekutuan, tegasnya di bawah Kanun Keseksaan. Namun, ia masih juga lagi satu kesalahan sivil dan hukumannya jauh lebih berat.

Keputusan ini sudah dijangkakan dan sering menjadi topik utama ketika kempen RUU355 dahulu yang mana ia perlu dipinda bagi membuka jendela perundangan supaya beberapa jenayah syariah Islam seperti curi, rogol, bunuh, seks luar tabii dan sebagainya, yang termasuk dalam bidangkuasa perundangan sivil, perlu dibuka dan membolehkan ia dibicarakan di Mahkamah Syariah sepenuhnya.

Ini juga satu halangan kepada usaha Kerajaan Negeri Kelantan dan Terengganu apabila hendak melaksanakan Kanun Acara Jenayah Islam Negeri yang terbantut kerana peruntukan Perkara 74, 76 dan 121 Perlembagaan Persekutuan tidak dipinda bagi membenarkannya oleh Parlimen. Tegasnya Akta Persekutuan perlu dipinda dahulu untuk memberi laluan kepada beberapa acara jenayah Syariah yang tersenarai dalam Senarai Federal (Persekutuan) sebelum dibenarkan dibicarakan di bawah Enakmen Syariah Negeri.

Acara jenayah Syariah tertentu masih boleh diiktiraf sebagai sebahagian daripada kerangka pelaksanaan yang sudah diterimapakai secara “hybrid” dalam Akta Persekutuan, misalnya dalam Kanun Keseksaan (Penal Code) Persekutuan sebagai suatu kesalahan. Ini menuntut kita untuk melihat dengan sikap positif kepada beberapa acara jenayah Islam dalam Undang-undang Syariah agar “diadaptasikan dalam kerangka perundangan Sivil.”

Ia akan kekal sebagai satu kesalahan jenayah tetapi jenayah sivil dan ini disebabkan ia terangkum dalam bidang kuasa undang-undang Persekutuan. Adaptasi ini adalah langkah terbaik sementara demi keharmonian dua sistem perundangan yang kita amalkan dalam negara sejak sekian lama.

Oleh itu, pelakuan seks luar tabii pelaku Muslim tidak boleh disabitkan di bawah Enakmen Syariah Negeri kerana ia bukan di bawah bidangkuasa Mahkamah Syariah Negeri sebagaimana diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan berkenaan baru-baru ini.

Berita ini sewajarnya menjadi pencetus semangat, kesedaran yang membuka mata dan minda serta menjadi daya juang bagi parti-parti politik Melayu-Islam, termasuk NGO-NGO Islam, Peguam Muslim, Pensyarah dan Ahli Akademik Islam serta umat Islam yang mahukan sistem Islam diperkasakan dalam perundangan negara, bukannya menjadi satu penghalang untuk terus memperjuangkannya.

Kita diberitahu pada 25 Februari 2021 bahawa perjuangan memartabatkan Kedaulatan Islam dalam perundangan negara telah masuk ke fasa seterusnya menerusi penghakiman Mahkamah Persekutuan yang menggunakan peruntukan perundangan sivil mengatasi “keperluan Syariah” berasaskan peruntukan sedia ada dalam Perlembagaan Persekutuan.

Oleh itu, keadaan sekarang ini sudah semakin jelas dan penampakkan bahawa betapa terdesaknya perjuangan parti-parti Melayu-Islam dan NGO-NGO Islam bagi memikirkan kerjasama mantap di atas SATU BARISAN untuk mengembalikan kedaulatan Islam dalam perudangan negara kita ini. Ertikata lain menjunjung prinsip Rukun Negara yang ke 4 iaitu Kedaulatan Undang-undang.

Dan solusi bagi menjawab persoalan itu ada pada PRU-15 nanti, yang semakin kuat berkumandang memberi amaran kepada warga Muslim bahawa Undang-undang Syariah Negeri-Negeri Melayu yang diwarisi sejak beratus tahun dahulu sebelum wujudnya Undang-Undang Sivil Tanah Melayu (Malaya) bakal tenggelam dan dihapuskan jika kita sebagai umat Islam masih gagal memainkan peranan proaktif dalam sistem demokrasi negara menerusi pilihanraya.

Ayuh, saya mengajak tuan-puan bersama saya dan rakan-rakan dalam PEMBELA, kita fikirkan perkara ini sedalam-dalamnya betapa musuh agama sedang mengatur strategi mereka bagi menjayakan agenda ke arah Liberalisme. Maka kita sebagai umat Melayu-Islam wajib saat ini memulakan sikap yang betul dan mengambil langkah awal yang tepat ke arah membina sebuah negara berdaulat lagi diberkati!

Haji Rashidi bin Haris
Ketua Media MUAFAKAT
Ketua Komunikasi & Multimedia PEMBELA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: