Categories
Negara Politik

Ke arah kerajaan ‘baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur’

Tajuk asal artikel ini ialah KEMBALIKAN SEMENANJUNG INI KEPADA UMMAT ISLAMIYYAH-MALAYUWIYYAH

Tanggal 8 Mei 2018 merupakan tarikh duka bagi sebuah kerajaan Melayu-Islam yang diwarisi sejak 60 tahun sejak merdeka, berkesinambungan dari pasak asalnya iaitu Kerajaan Melayu-Islam Melaka; pernah ditakluki Portugis – 1511, berada di bawah Belanda – 1641 dan Inggeris menerusi Perjanjian Inggeris-Belanda 1824, melalui zaman Penaklukan Jepun sehingga mengecapi kemerdekaan sebenar daripada campurtangan kuasa asing pada tahun 1957 apabila Tanah Melayu mula memerintah sendiri.

2. Lalu terbentuk negara merdeka Semenanjung Tanah Melayu atau Malaya ringkasnya Malaysia dengan pengisytiharan kedaulatannya berpandukan kepada Perlembagaan Persekutuan yang telah mengekalkan Islam sebagai agama bagi Persekutuan dengan agama-agama lain dibenarkan diamalkan dengan aman dan damai di mana-mana bahagian Persekutuan.

3. Dalam melangkah zaman, pada masa yang sama pemimpin negara hari ini terpaksa memikul beban tinggalan penjajah seawal 1955 lagi apabila kaum bukan Melayu yang dibawa masuk oleh Inggeris dari India dan China dibenarkan untuk mengundi menentukan masa depan sebuah negara baru yang menggabungkan Kerajaan-kerajaan Melayu berasingan di bawah konsep _Federalisme_ dengan Raja dan Sultan kekal berdaulat di negeri masing-masing dan berkuasa penuh ke atas semua urusan berkaitan agama Islam.

4. Sikap pemurah, sopan-santun dan mudah bergaul yang sebati dengan jiwa orang Melayu menjadikan mudah untuk berlapang dada menerima kaum lain di Tanah Melayu; sikap ini jauh lebih hebat daripada Amerika Syarikat yang suatu ketika hampir mahu melenyapkan kaum Red Indian dan hanya membenarkan warga kulit hitam mengundi pada tahun 1965, iaitu 189 tahun setelah kemerdekaannya pada tahun 1776.

5. Negara mana lagi dalam dunia ini selain Persekutuan Tanah Melayu yang begitu pemurah bangsa asalnya dengan memberi kepercayaan kepada kaum pendatang yang bukan dijemput atau diundang tetapi dibawa masuk oleh penjajah untuk diterima sebagai warganegara?

6. Memang Melayu lembut hatinya dan atas kelembutan itulah pengkhianat daripada bangsa Melayu sendiri atau lebih dikenali sebagai “Melayu barua” sanggup memilih untuk bersama kaum lain menerusi peti undi demokrasi PRU ke-14 gigih menumbangkan kerajaan Melayu-Islam yang pernah begitu pemurah menerima masuk kaum bukan Melayu sebagai warga Malaysia 60 tahun sebelum itu.

7. Ingatlah wahai ummat Melayu-Islam bahawa dengan Izin Allah SWT jualah pada tanggal 24 Februari 2020, hancurnya kerajaan Pakatan Harapan (PH) lalu digantikan dengan Perikatan Nasional (PN) yang sehingga kini sebagai peringatan buat kita untuk terus berganding bahu mengembalikan Daulah yang hilang 22 bulan lamanya, supaya maruah negarabangsa berpasak atas tiga entiti Melayu-Islam-Raja itu dapat dikekalkan dengan prinsip Raja Berperlembagaan sebagaimana termaktub di dalam Perlembagaan.

8. Cukup! Hentikan sengketa politik pecah perintah musuh ke atas kita walhal kita ini asalnya bersaudara, sebangsa dan seagama yang selama 63 tahun mengerah keringat tenaga membina sebuah kerajaan Persekutuan atas perkenan Raja-Raja Melayu berganding bahu penuh ikhlas bergabung di bawah payung naungan seorang Ketua Negara berdaulat.

9. Sudah lupakah kita dengan asal usul Kerajaan Islam Melayu Melaka yang suatu ketika dulu amat disegani oleh Kerajaan China, India, Siam malah Khalifah Islam Turki Uthmaniyyah pernah mengizinkan zuriatnya menjadi pengikat pertalian kekeluargaan dan persaudaraan agar menjadi darah daging di kalangan Sultan Melaka-Johor sehingga pemimpin pada hari ini?

10. Sedarlah wahai ummahku! Kembalilah kepada seruan Al-Qur’an untuk sekali lagi memimpin negara di atas landasan Islam yang benar yang pastinya menjadi rahmat ke atas sekalian warga di bumi Malaysia bagi mengharungi iklim demokrasi menerusi peti undi PRU ke-15.

11. Kali ini kita menyeru sekalian bangsa Melayu, Bumiputera dan lainnya yang benar-benar memahami susur galur sejarah Tanah Melayu hingga kini, kembali kepada kesedaran sistem Islam sebagai faktor penyatuan ummah yang telah benar-benar berjaya membebaskan rantau ini dan mengIslamkan Negeri-negeri Melayu, mencantumkannya menjadi Malaysia lalu mendaulatkan Islam sebagai agama negara sebagaimana dihasratkan oleh _framers of the Federal Constitution_ pada asalnya.

12. Ayuh kita lupakan percaturan serakah di antara kita, kembali pasrah kepada Allah SWT selaku Pemilik Kuasa Sebenar yang hanya meminjamkannya kepada kita supaya mentadbir dengan adil lagi saksama, kita bangkit dan bina dahulu sebuah negara bangsa berdaulat ke arah kerajaan baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur. Nusantara, khususnya semenanjung ini tidak akan selamat dan aman damai melainkan ia diperintah dan dikuasai oleh pemilik tanahair sebenar iaitu kaum Melayuwiyyah Islamiyyah.

Penulis, dengan nama penanya Lebai Kampung @ Haji Rashidi bin Haris adalah pemerhati politik tanah air.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s