Ke arah mana pemimpin Melayu mahu bawa orang Melayu sebagai hala tuju?

Saya sebenarnya bukanlah orang yang layak untuk ditanya atau memberi pandangan bercakap mengenai konflik dalaman UMNO jika betul ada konflik berlaku di dalamnya, jauh sekali sebagai wakil bagi parti terbesar Melayu itu, walaupun majoriti ahli keluarga dan sanak saudara saya adalah ahli serta penyokong parti sulong Melayu ini. Namun, oleh kerana ada pelbagai soalan yang ditanya berkenaan peranan sebenarnya UMNO dalam Kerajaan Perpaduan Ummah ini, maka saya cuba berkongsikan pandangan saya di sini dan bukannya menjawab soalan.Di media tersiar bermacam-macam kenyataan bercanggah sesama pemimpin, sekejap ada yang kata akan kekal bersama, sekejap kata akan keluar apabila diumumkan tarikh PRU15, sekejap lagi ada pula yang kata akan mengadakan kerjasama dengan PKR, sekejap ada kata tidak mustahil untuk bersama DAP dan bermacam ragam kecelaruan dari khabar angin yang berlegar dalam media sosial sehingga kenyataan para pemimpinnya saling bercanggah.

Walau bercelaru teruk mana sekalipun kenyataan-kenyataan di kalangan pemimpin UMNO apabila diajukan soalan, disebelah PAS berlainan pula keadaannya di mana mereka dilihat kekal konsisten dengan prinsip untuk terus memperkasa MUAFAKAT NASIONAL (MN) serta dalam masa yang sama mempertahankan Perikatan Nasional (PN) di semua peringkat.

Jika dilihat dari satu sudut kelihatannya PAS seolah-olah menunjukkan mahu bermain dua kolam. Tetapi jika diperhalusi secara mendalam dan dengan dada yang terbuka, kita dapat lihat bahawa PAS sebenarnya mahu menjaga hubungan silaturahim baiknya dengan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) atau BERSATU dalam PN dan juga dengan UMNO dalam MN.

Manakala UMNO pula secara keseluruhannya dengan tidak mengambil kira atau ambil peduli kenyataan-kenyataan beberapa pemimpinnya yang majoriti terlibat dengan kluster mahkamah turut bertegas menyatakan bahawa “mereka” akan terus dengan prinsip menyokong PN dan BERSATU (PPMB), sehingga PRU15 sahaja, dan ini suatu perkembangan yang baik bagi UMNO. Rakyat melihat PAS bagaikan “orang tengah” dalam konflik antara UMNO dengan BERSATU.

Justeru, saya melihat senario yang sedang berlaku ini bukannya tentang siapa yang lebih berprinsip atau siapa sebenarnya yang tolak perpaduan ummah? Tetapi isu sebenarnya adalah tentang pembahagian kerusi yang khabarnya sehingga kini masih belum selesai. UMNO mempunyai kekuatannya tersendiri, begitu juga PAS dan BERSATU. Dan sudah tentu masing-masing mahu memastikan parti masing-masing mendapat yang terbaik daripada pembahagian kerusi. Seperti biasa UMNO cekal mahu mempertahankan kerusi- kerusi yang sebelum ini mereka telah menang atau pernah menang.

Momentum politik sekarang sudah semakin mendatar, maksud mendatar ialah masing-masing sudah ada majoriti pemimpin yang hendak dipilih. Logikalnya UMNO tidak sepatutnya melepaskan kerusi yang mereka tidak pernah kalah selama 60 tahun sebelum PRU14. Timbalan Presiden UMNO, Dato’ Seri Mohamad Hasan baru-baru ini meletakkan sasaran untuk bertanding sekurang-kurangnya 96 kerusi Parlimen pada PRU15 kelak.

Kenapa Hanya 96 Kerusi Sahaja?Seperti yang telah saya katakan, dari awal lagi dalam beberapa rencana saya yang lalu, bahawa UMNO sudah menyebut 55 kerusi yang dimenangi pada PRU14 akan terus kekal dipertahankan kerana itu adalah milik penuh UMNO. No compromise dalam bab 55 kerusi ini baik dengan siapa sahaja, PAS atau BERSATU. Manakala kerusi lainnya UMNO terbuka untuk rundingan iaitu kerusi kedua yang mereka menang terbanyak. Itulah grand design UMNO.

Justeru, jika parti Melayu-Islam mahu menang tak kira dari parti mana yang ada dalam gabungan MN atau PN untuk mencapai tujuan ini, maka pertandingan 3 penjuru harus dielakkan. PAS dan BERSATU perlu datang dengan formula mereka, tanpa melanggar sempadan grand design UMNO dengan syarat menghormati pendirian UMNO. Ini kerana jika dilihat kepada beberapa PRK yang lalu jelas menunjukkan bahawa UMNO mesti kekal RELEVAN dan DOMINAN dengan kebangkitan baru selepas PRU15.

Dan untuk kekal momentum ini dengan senario politik yang semakin dinamik maka UMNO perlu segera membuat perubahan drastik jika mahu kembali menjadi peneraju kumpulan bangsa teramai dan juga merupakan watan negara. Propaganda musuh akan bertiup kencang namun masih ada pemimpin UMNO yang meletakkan harapan kepada Perpaduan Ummah dan agenda Muafakat Nasional perlu diteruskan.

Selesaikan dahulu rundingan kerusi dengan penuh bijaksana, maka kerajaan perpaduan ummah, kerajaan muafakat atau apa saja namanya nanti akan lebih mudah dilaksanakan. Dan bagi memantapkan lagi serta menzahirkan keikhlasan sebenar dalam memperjuangan ABATA maka sekarang adalah masa terbaik dijemput semua parti-parti Melayu-Islam yang lain seperti BERJASA, PUTRA dan IKATAN duduk di bawah payung besar Malayuwiyah-Islamiyyah bagi menjana negara bangkit dengan semangat baru.

Penulis, Lebai Kampung @ Haji Rashidi Haris adalah seorang blogger, pemerhati politik tempatan dan aktivis NGO Islam.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: