Kerajaan komited untuk terus bantu sektor PKS – Menteri Kewangan

ALOR SETAR, 20 Mac — Peranan serta sumbangan penting perusahaan kecil dan sederhana (PKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) mendorong kerajaan untuk terus menyediakan pelbagai bentuk inisiatif bagi membantu memulihkan sektor tersebut.

Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata sektor berkenaan juga merupakan penyumbang terbesar dari segi pekerjaan menerusi pembabitan 70 peratus tenaga kerja di negara ini.

“Banyak pakej ransangan ekonomi yang diumumkan sebelum ini seperti PRIHATIN (Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat), KITA PRIHATIN dan PENJANA (Pelan Jana Semula Ekonomi Negara) memberi fokus kepada PKS dan PKS mikro.

“Kita dapat lihat mereka memang agak terkesan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak Mac tahun lepas. Oleh itu, kita teruskan pertolongan menerusi peruntukan daripada kerajaan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan program Digital Pekan Rabu di sini, pada Sabtu.

Mengulas selanjutnya, Tengku Zafrul berkata inisiatif terbaharu kerajaan adalah pengumuman pelbagai bantuan tambahan di bawah Program Strategik Memperkasa Rakyat dan Ekonomi (PEMERKASA) bagi menyokong kelangsungan perniagaan PKS.

“Di bawah PEMERKASA, kerajaan menyediakan dana pembiayaan tambahan sebanyak RM500 juta bagi kemudahan pembiayaan mikro kredit melalui program agensi-agensi yang telah diumumkan,” katanya.

Selain itu, merujuk program Digital Pekan Rabu, Tengku Zafrul menyifatkannya sebagai satu inisiatif menggalakkan peniaga kecil di kompleks perniagaan tersebut meningkatkan perniagaan secara dalam talian.

“Kita lihat jualan secara dalam talian ini meningkat sebegitu mendadak sekali terutamanya sejak Mac tahun lepas ketika PKP dilaksanakan. Justeru, kita tidak mahu ada PKS terutama PKS mikro yang ketinggalan (daripada mengambil peluang ini),” katanya.

Program Digital Pekan Rabu merupakan inisiatif Telekom Malaysia Bhd (TM) menyediakan kemudahan Wifi percuma selama setahun untuk peniaga di kompleks tersebut menjalankan peniagaan secara dalam talian.

Sementara itu, Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TM, Imri Mokhtar berkata selain Wifi, pihaknya juga menyediakan aplikasi serta latihan untuk peniaga Pekan Rabu tersebut memanfaatkan platform pemasaran secara lebih berkesan.

“Selain di Kompleks Pekan Rabu, kita akan turut meneliti tempat-tempat lain yang memerlukan kemudahan perniagaan dan pemasaran secara digital, terutama usahawan mikro dan PKS,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: