‘Pahang antara terawal terima Islam’ – Agong

KUANTAN — Pahang adalah antara negeri terawal yang menerima agama Islam berdasarkan kepada Makam Permatang Pasir yang bertarikh 1028 iaitu lebih awal dari tarikh Batu Bersurat Terengganu 1303 dan Melaka 1400.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah bertitah, penemuan-penemuan seperti ini perlu diketengahkan bagi memperbaiki hasil kajian sebelumnya.

“Penemuan ini bukan sahaja untuk mengatakan Pahang merupakan negeri terawal yang menerima Islam, tetapi juga penting untuk menunjukkan bahawa ajaran Islam jauh lebih awal telah bertapak di Alam Melayu, jika boleh saya katakan sedemikian,” titah baginda.

Tuanku Yang di-Pertuan Agong bertitah demikian Sempena Majlis Taklimat Cadangan Menandatangani MOA Penubuhan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah Di Kutubkhanah Diraja Kuantan di sini hari ini.

Turut hadir, YB. Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang, Dato’ Sri Dr Sallehuddin Ishak dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Haji Mohd. Sharkar Haji Shamsudin.

Baginda tuanku berpendapat cadangan mewujudkan Pusat Kajian Sejarah Dan Tamadun Pahang Al-Sultan Abdullah ini amat bertepatan pada ketika masyarakat mula dilalaikan dengan cara hidup moden yang melekakan.

“Sejarah merupakan perkara penting sebagai asas untuk membangunkan sesebuah tamadun manusia. Oleh sebab itu, penulisan semula sejarah tanah air amat penting bagi membetulkan penulisan sejarah yang dibuat oleh orientalis terutama ketika penjajahan British di Tanah Melayu.

“Saya percaya pusat kajian ini bukan sahaja boleh menjadi entiti penting untuk melengkapkan peranan muzium sebagai pusat pendidikan dan rujukan tetapi juga membolehkan segala bahan sejarah dan budaya Negeri Pahang khasnya dan Malaysia amnya akan dapat dikaji dengan lebih mendalam.

“Melalui pusat kajian ini juga, ruang dan peluang yang lebih besar akan dapat dimanfaatkan oleh pengkaji-pengkaji tempatan dan luar negara untuk menyelidik, menerokai dan memahami sejarah tanah air,” titah baginda.

Dalam pada itu, Seri Paduka menaruh harapan yang tinggi agar pusat ini nanti bukan semata-mata akan menjadi pusat rujukan berguna untuk universiti-universiti tempatan dan luar negara tetapi juga dapat memberi manfaat kepada seluruh rakyat Malaysia di kalangan orang awam yang berminat untuk mengetahui sejarah tanah air mereka.

“Saya fikir ini satu bentuk pelaburan jangka panjang yang penting untuk memastikan generasi hari ini dan akan datang dapat mengenali dan menghargai sejarah serta jati diri mereka sendiri.

“Apa yang kita usahakan hari ini bukanlah untuk kita, tetapi untuk anak cucu kita yang bakal mewarisi bumi Malaysia yang tercinta ini sepertimana apa yang kita ada sekarang adalah atas usaha yang dilakukan oleh datuk nenek kita beratus-ratus tahun dahulu,” titah baginda. – PAHANGMEDIA (Muhammad Shahrinnahar Abd. Latib)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: