Categories
Politik

UMNO harus berprinsip buang pemimpin korup semasa PAU

Artikel saya sebelum ini ada menyebut mengenai UMNO perlu melakukan perubahan drastik dengan membuang pemimpin yang korup dan banyak mendatangkan masalah kepada parti jika UMNO benar-benar mahu menambat hati majoriti orang Melayu kembali menyokongnya, dan menjulang semula nama UMNO di pentas politik tanahair dengan cemerlang sebagaimana dahulu.

2. UMNO pernah selama 60 tahun memenangi hati majoriti Melayu dengan menjadi pemangkin kepada semua agenda Melayu-Islam sehinggalah di era Dr. Mahathir, geopolitik negara mulai berubah apabila ada di kalangan pimpinannya tercalit dengan pelbagai isu daripada rasuah hingga kepada zina dan seks sejenis.

3. Walaupun ada percubaan untuk menutup aib ini, namun bau busuknya tetap terhidu sampai keluar dewan besar UMNO. Tapi hari ini, saya bukan hendak membicarakan soal gejala rasuah mahupun skandal seks di kalangan ahli UMNO yang biasanya terdiri daripada kalangan pimpinan atasan, kali ini saya mahu fokus mengenai agenda “perubahan”.

4. Seperti yang Presiden PPMM, Datuk Zainul Rijal sebut “RESET”. Suka atau tidak, parti UMNO juga perlu reset atau diformat kembali supaya pemutihan dapat dilakukan di kalangan ahlinya dengan penuh berkesan. Maksud “berkesan” di sini ialah dapat melakukan perubahan ke arah penambahbaikan.

5. Antara reset yang perlu dilakukan adalah di kalangan pimpinan tertinggi UMNO itu dahulu – ahli harus memikirkan sama ada mereka diperlukan ataupun patut diganti dengan neraca prestasi mereka sebelum ini dalam memperjuangkan asas perjuangan UMNO iaitu ABATA atau Agama, Bangsa dan Tanahair.

6. Ramai kalangan pemimpin UMNO petah bercakap pasal ABATA, tetapi realitinya kepetahan ucapan mereka itu adalah retorik belaka, ini kerana ketika UMNO jatuh tersemban mereka yang petah itulah antara yang mahu melompat parti. Mereka seperti inilah yang sepatutnya dibuang dan tidak layak lagi berada di atas pentas utama UMNO.

7. Alasan tidak layak ini diperkuatkan kerana mereka adalah antara yang selalu buat hal dengan kenyataan-kenyataan yang menyusahkan ahli-ahli UMNO golongan marhaen sama ada hendak ikut melaksanakan tugas atau tidak. Contoh, seperti yang saya sebut sebelum ini, ada kalangan pemimpin secara sendirian berkata akan menjaga hubungan perpaduan ummah tetapi beberapa bulan kemudian membuat kenyataan kononnya tidak mustahil UMNO akan bekerjasama dengan DAP atau PKR. Kecelaruan ini harus dihentikan kerana kenyataan sedemikian menjadi cerminan dalaman UMNO padahal majoriti ahli UMNO tidak bersetuju.

Rujuk pautan di sini: https://www.utusan.com.my/berita/2021/03/kerjasama-umno-dap-ph-ahmad-zahid-kena-terus-terang/

8. Justeru, soal pembersihan UMNO ini, tidak dapat tidak mesti dilakukan dari atas pentas dahulu atau bermula dari atas dahulu bukannya dari bawah. UMNO umpama sepohon pokok, bahagian akar umbinyalah yang akan mencengkam kuat dan gagah agar pokok itu tidak tumbang, akar umbi itu jugalah yang akan memberi nutrisi kepada pokok itu dengan bantuan air dari bahagian bawah dan sinaran matahari melalui daun-daunnya, yang daripadanya dapatlah pokok itu hidup sihat dan berterusan menghasilkan buah yang segar.

9. Daun-daun pokok yang sudah tidak sihat ia perlu dicantas. UMNO sebagai pokok sangat bergantung kepada daun-daun dan akar, jika tidak pokok akan mulai kering dan layu, akhirnya tersembam jatuh ke bumi mati dan tidak mampu hidup semula lagi. Pokok bukan lagi tidak menghasilkan buah malahan berdiri pun tidak akan berupaya lagi.

10. In Sya’ Allah pokok akan sihat serta berbuah memberi hasil yang bermanfaat kepada seluruh makhluk jika dua sumber ini berfungsi dengan baik. Maka begitu jugalah keadaannya dalam parti UMNO, daun yang tua dan sudah layu itu perlu dicantas supaya tumbah daun yang lebih sihat dan segar. Jika tidak UMNO tidak akan ke mana, keadaan akan terus kekal seperti sebelumnya, korup dan dipenuhi dengan warga tua yang banyak angan-angannya.

11. Oleh itu, UMNO perlu melakukan perubahan atau reset dalam ertikata sebenar dengan generasi baru dan semangat baru sambil dibimbing oleh yang senior agar generasi baru tidak tergelincir sebagaimana generasi lama yang mudah terpedaya dan tertipu dengan kepetahan pemimpin yang bicara lunak tetapi sebenarnya menabur bisa di kalangan ahli yang akhirnya melahirkan generasi UMNO yang korup.

12. Jangan dibiarkan daun-daun tua itu sahaja berkekalan sedangkan daun-daun muda pun masih banyak juga yang tumbuh setiap kali bermusim. Kita tidak mahu daun-daun tua menyalur mesej yang salah kepada akar umbi terus-menerus bekerja keras tetapi diperkuda untuk kepentingan daun-daun tua untuk terus kekal berkuasa.

13. Sekarang ini UMNO bagaikan pohon yang sedang diracuni dari luar oleh parasit-parasit yang dengki dengan kejayaan UMNO dan juga kulat-kulat yang tumbuh dalam pohon yang tamak mengumpul ghanimah negara untuk kepentingan diri sendiri.

14. Tegas saya katakan UMNO perlu reset dan diterajui oleh mereka yang benar-benar mahu menjaga dan memperjuangkan ABATA. Tidak ada jalan lain melainkan kumpulan korup ini mesti dicantas segera sebelum mereka melakukan lebih banyak kerosakan bukan hanya dalam parti tetapi juga kesannya tertempias kepada Melayu keseluruhannya.

Lebai Kampung
@Haji Rashidi Haris
Artikel ini sempena PAU2020

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s