Categories
Negara Pendidikan Undang-Undang

‘Kalimah Allah hanya berkaitan Islam’ – Pengerusi DBP

BANGI – Pengerusi Lembaga Pengelola, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Prof Datuk Seri Dr Awang Sariyan hari ini menjelaskan takrif kalimah Allah bagi mengelakkan kekeliruan berhubung konsep ketuhanan.
Menurut Kamus Dewan Perdana, Dewan Bahasa dan Pustaka, 2020, istilah ‘Allah’ ialah kata yang merujuk kepada makna ‘Tuhan yang esa dan pencipta seluruh alam, yang mempunyai segala sifat yang sempurna’.
Manakala, kata ‘Tuhan’ dengan huruf besar diberi takrif yang sama dengan istilah ‘Allah’, iaitu sebagai sinonim atau kata seerti dengan kata ‘Allah’.
Bagi agama selain Islam, istilah ‘tuhan’ digunakan sebagai nama am, iaitu ditulis dengan huruf kecil untuk membezakan konsep ketuhanan dalam agama Islam dengan konsep ketuhanan dalam agama-agama lain.
Prof Awang Sariyan yang juga Pengarah Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) menjelaskan, takrif itu telah menjadi pegangan dan pemahaman umat Islam di alam Melayu sejak Islam diperkenalkan di rantau ini seawal abad 8 Masihi dan mencapai tahap agama kerajaan-kerajaan Melayu mulai abad ke-13 Masihi.
“Berdasarkan pandangan sarwa atau pandangan alam umat Islam di rantau alam Melayu ini, istilah ‘Allah’ hanya berkaitan dengan agama Islam dan umat Islam, menurut takrif yang saya petik daripada kamus bahkan takrif itu telah berakar umbi sejak lebih seribu tahun.
“Fakta itu patut difahami dan dihormati oleh penganut agama-agama lain. Ini supaya tidak timbul kekeliruan tentang konsep ketuhanan dalam agama Islam dengan konsep ketuhanan dalam agama-agama lain, sebagaimana penganut Islam tidak menyentuh konsep kepercayaan penganut agama lain,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada 10 Mac lalu, Mahkamah Tinggi memutuskan penganut agama Kristian di seluruh negara boleh menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan agama mereka untuk tujuan pendidikan.
Dalam keputusan itu, tiga perkataan Arab yang lain iaitu Baitullah, Kaabah dan solat turut mendapat kebenaran untuk digunakan.
Kementerian Dalam Negeri dan Kerajaan Malaysia pada 15 Mac lalu mengemukakan rayuan terhadap keputusan berkenaan melalui notis rayuan yang difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s