Menangani cabaran liberalisme dalam kalangan Muslim berdasarkan konsep Ijmak

Di lihat secara sepintas lalu oleh kalangan Muslimin, mungkin ada yang berpandangan bahawa permasalahan penolakan autoriti tradisi keagamaan oleh pemikiran rasional Enlightenment ini adalah persoalan yang khusus dalam dan kepada agama Kristian sahaja. Maka, diandaikan bahawa dari perspektif pemikiran Islam, ini bukan sesuatu yang perlu dicampuri oleh kaum Muslimin kerana ia berlaku dalam konteks agama Kristian.

Pandangan seperti ini mungkin boleh diterima pada tahap tertentu, jika penolakan tadi melibatkan sebahagian perkara dalam khazanah ilmiah Islam tradisional yang memang diperdebatkan kerana sifat perkara tersebut yang zanni dan ijtihadiah; atau jika penolakan tadi tidak berlandaskan akal yang dirasionalkan dalam kerangka rasionalisme dan empirisisme Enlightenment.

Walau bagaimanapun, apabila paradigma yang sama dibawa ke dalam konteks kefahaman dan pengamalan Islam, maka pelbagai soalan asasi perlu ditimbulkan dahulu. Paling mendasar, perlu dinilai jika benar atau salah andaian kononnya pegangan dan khazanah agama dalam kalangan kaum Muslimin sekarang merupakan suatu bidaah dan khurafat sehingga perlu digerakkan suatu revolusi ala Protestan yang menafikan autoriti ulama.

Dari sudut pandangan Ahli ’l-Sunnah wa ’l-Jamā‘ah, dakwaan oleh puak revolusioner, sama ada yang Wahabi atau yang liberal, merupakan andaian yang masih belum dapat dibuktikan. Hal ini disebabkan tradisi tersebut berdiri dan berkembang atas dalil-dalil wahyu dan akliah secara seimbang, serta disepakati oleh majoriti ulama; sedangkan revolusi tersebut beralaskan suatu tafsiran yang belum tentu seimbang dalam menghargai wahyu dan akal, serta belum diterima oleh majoriti ulama.

Sebaliknya, didapati bahawa andaian tersebut adalah berlandaskan perspektif yang asing daripada ajaran Islam. Sifat asing ini, pertama-tamanya boleh dilihat pada nama bagi aliran pemikiran ini. Selain nama liberal Islam dan Protestan Islam, aliran pemikiran ini juga dikenali dengan nama-nama seperti reformis, ijtihadis, modenis, neo-modenis, moderat, progresif, transformasionis, positivis dan enlightened Islam.

Walau bagaimanapun, menurut Abdou Filali-Ansary, hanya nama liberal Islam yang nampaknya diterima umum. Ini menunjukkan bahawa aliran pemikiran ini adalah begitu bercambah sehinggakan para pendukungnya tidak mempunyai kesatuan biarpun dalam hal nama. Dalam hal ini, Ebrahim Moosa mengakui bahawa pemikiran ini masih diterokai, tanpa suatu ijmak sesama jumhur pemikirnya tentang teori liberal Islam yang lengkap tersusun. Ia lebih kepada suatu perkumpulan tafsiran-tafsiran baru tentang Islam, yang nampaknya tidak bersetuju dengan ijmak dan jumhur ulama tradisi.

Selain itu, dapat diperhatikan seterusnya daripada petikan terhadap tulisan Fyzee di atas bahawa pemikiran Islam yang liberal ini ingin menjadikan situasi kehidupan moden sebagai panduan dalam melahirkan satu tafsiran Islam baru. Dalam hal ini, nampaknya kesesuaian dengan perihal hidup semasa menjadi prinsip baru. Situasi moden ini juga ingin dijadikan kayu pengukur dalam menilai dan membuang apa yang dianggap sebagai sudah ketinggalan daripada tradisi pemikiran Islam yang diwarisi.

Boleh didakwakan di sini bahawa tradisi warisan ini tidak lain dan tidak bukan ialah pegangan Ahli ’l-Sunnah wa ’l-Jamā‘ah yang telah stabil sejak sekian lama. Ciri menolak kestabilan ini merupakan akibat langsung kepada prinsip penyesuaian berterusan dengan keadaan semasa yang sudah tentunya akan terus berubah-ubah.

Berkenaan dengan penerimaan liberal Islam, Fazlur Rahman (1919-1988) menulis, “Muslim modernism represents Islamic liberalism: it has accepted certain key liberal social values from the modern West and has interpreted the Qur’an to confirm those values.”

Ini menunjukkan liberal Islam berpegang kepada paksi liberalisme sebagai prinsip, lalu memahami wahyu berdasarkan prinsip asing ini. Dengan kata lain, liberal Islam adalah pemahaman semula wahyu berdasarkan paradigma liberalisme dalam melihat kehidupan semasa. Secara lebih khusus, ada tiga unsur yang perlu disedari di sini.

Pertamanya, adat kebiasaan dalam kehidupan semasa yang menjadi fakta. Keduanya, falsafah liberalisme yang menganjurkan suatu nilai hidup tertentu. Ketiganya, ajaran wahyu Islam yang turut mengemukakan panduan nilai hidup tertentu yang boleh jadi bercanggah dengan idea liberalisme. Ketiga-tiga perkara ini boleh difahami dengan lebih mendalam dalam huraian berikut.

Secara tradisinya, umat Islam menyusun hidup mereka berdasarkan idealisme wahyu yang diturunkan Tuhan. Di bawah kaedah ini, wahyu itu difahami sebagai suatu nilai yang menstrukturkan kehidupan. Dengan itu, umat Islam berusaha mengubah dan mencorakkan kehidupan mereka agar selaras dengan nilai wahyu. Umat Islam umumnya tidak pernah bertindak secara bertentangan, dengan maksud mengubah dan mencorakkan wahyu agar selaras dengan adat kebiasaan hidup mereka.

Begitu pun, secara khususnya, memang diakui ada perkara-perkara tertentu yang memerlukan sikap beransur-ansur dan tolak-ansur dalam menurut tuntutan wahyu, yang juga menjadi ajaran Islam, seperti beransur-ansur dalam pelaksanaan hukum-hakam syariah. Tuntasnya, yang diikuti adalah wahyu, bukan kebiasaan manusia; dan yang diubah adalah kebiasaan itu, bukan faham yang benar terhadap wahyu, biarpun faham tersebut berbeza dengan adat kebiasaan semasa.

Walau bagaimanapun, cara moden nampaknya menjadikan idea-idea liberalisme sebagai panduan. Melalui cara baru ini, pertama-tamanya kehidupan manusia distrukturkan dalam paradigma liberalisme. Di sini, kebiasaan manusia diubah dan dicorakkan agar selaras dengan liberalisme. Perubahan ini dibuat juga walaupun nilai liberalisme tidak selaras dengan adat kebiasaan manusia, seperti dalam isu kebebasan homoseksual.

Kemudian, apabila didapati sebarang ajaran Islam yang tidak selaras dengan perspektif liberal, maka panduan wahyu yang berkenaan diubah dan dicorakkan agar mempersetujui nilai terkini. Penstrukturan semula nilai Islam ini dilakukan melalui pentafsiran semula teks-teks wahyu dengan suatu pengertian semasa yang kadang-kala tidak pernah difahami sedemikian oleh seluruh ulama tradisional. Ketika inilah “a newer ‘protestant’ Islam will be born in conformity with conditions of life” apabila liberal Muslim “has interpreted the Qur’an to confirm those values.”

Mungkin kejadian dalam hidup tidak semudah penjelasan simplistik di atas. Namun, penceritaan mudah ini boleh dipertahankan sebagai rangka umum modenisasi dan liberalisasi agama yang dilakukan ke atas Islam. Sudah tentu penceritaan mudah ini memerlukan perincian yang lebih mendalam. Begitu pun, perincian yang kompleks tersebut boleh bermula dengan kefahaman asas di atas. Pokoknya, apa yang dicorakkan dalam modenisasi dan liberalisasi agama ialah faham muktabar dalam agama, bukan kehidupan manusia.

(Bersambung)

Dr Wan Adli Wan Ramli merupakan seorang pensyarah di Universiti Malaya

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: