Categories
Kolumnis Politik

Adakah ini bala kepada politikus yang men’daunkari’kan pertubuhan Islam?

Walaupun ini hanya persepsi namun jika diamati secara teliti dan diperhalusi dengan sedalam-dalamnya mungkin perpecahan yang sedang berlaku kali ini di kalangan parti-parti politik orang Melayu adalah disebabkan kesombongan mereka membelakangkan jasa dan pengorbanan kumpulan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (PIBK).

Kalau dahulu kerajaan Melayu-BN jatuh pada PRU14 adalah disebabkan pemimpinnya yang berasa bongkak bila sudah berada di kemuncak kuasa, seolah-olah tidak ada kuasa apa pun yang boleh menjatuhkan mereka kerana mereka mempunyai jentera dan kekuatan akar umbi yang mantap serta sokongan padu dari rakyat setelah diberi pelbagai insentif (imbuhan), namun akhirnya jatuh tersembam juga.

Manakala Pakatan Harapan (PH) yang menang pada PRU-14 terkebil-kebil tidak percaya dengan pencapaian yang mereka perolehi iaitu berjaya menjatuhkan kerajaan gergasi dengan segala kekuatan jenteranya yang ada hanya dengan permainan persepsi dan propaganda melalui media sosial dengan dicanang sana sini kononnya negara akan bankrap.

Dalam kegembiraan yang amat sangat, pada mulanya parti-parti di dalam PH berjaya membentuk sikap setiakawan sesama sendiri, mentadbir negara dengan penuh kesungguhan dan semangat mahu menegakkan apa yang mereka laungkan DEMI KEADILAN, dan MEMBASMI RASUAH dan pelbagai lagi slogan yang menjadi kata semangat mereka dalam mengorak langkah untuk terus memperkasakan matlamat mereka.

Namun, gabungan parti-parti yang bercakap tentang “keadilan” dan “menolak rasuah” juga akhirnya setelah 22 bulan didapati tidaklah seadil mana dan tidak juga sebersih mana. Rakyat mulai sedar segalanya adalah retorik untuk menang pilihanraya sahaja. Semuanya adalah gimik-gimik dan propaganda untuk menang pilihanraya bukannya benar-benar mahu membantu rakyat.

Buktinya apabila Bapa Rasuah itu sendiri bersama dengan mereka. Sementara sangkaan akan ada keadilan juga meleset apabila keadilan tidak seadil mana pun dan ini jelas apabila yang melakukan kesalahan itu di pihak mereka, kes yang terbabit dilengah-lengahkan perbicaraannya, dan akhirnya dilepaskan atas alasan tidak cukup bukti dan sebagainya.

Sekiranya yang membuat kesalahan itu daripada kalangan rakyat marhaen, akan segera dikenakan hukuman. Manakala mereka yang berada dikayangan akan dijaga dengan sebaiknya. Bukti ini dapat dilihat pada kerajaan baru Perikatan Nasional apabila saki baki dari PH masih ada bersama berada di dalam PN. Inikah keadilan?

Inilah dunia politik, dunia yang dipenuhi dengan manusia penipu dan kaki memutarbelitkan fakta. Selagi mereka boleh menipu, mereka akan terus menipu dan menipu dan menipu dan menipu lagi! Memang lidah tidak bertulang, tetapi kerana maruah, lidah sepatutnya tidak akan berkata bohong. Lain pula dengan golongan politikus ini. Bagi mereka bercakap bohong itu adalah lumrah untuk mencapai kemenangan atau mengekalkan kuasa serta kedudukan dan pangkat.

Sebagai contoh betapa golongan politikus ini jenis bermuka tebal, seluruh negara sudah tahu pembabitan individu tertentu dengan skandal atau maksiat, namun selagi boleh individu terbabit tidak akan melepaskan jawatannya hanya kerana skandal atau maksiat mereka sudah terbongkar. Mereka tidak malu berdepan dengan masyarakat yang sudah tahu akan keburukan akhlak mereka.

Setakat ini, sehingga ke hari ini belum ada dalam catatan sejarah politik negara seorang menteri yang kantoi dengan skandal atau maksiat yang dilakukannya segera melepaskan jawatannya… Tiada!

Ini menunjukkan ketebalan muka mereka mengalahkan Tembok Besar China, malah lebih tebal lagi kerana setiap orang yang dijumpainya tahu akan perbuatannya itu cuma dia dan mereka yang bersama dengannya ketika itu buat-buat tak tahu atau memang tak mahu tahu? Wallahu a’lam.

Ditulis oleh Lebai Kampung @ Haji Rashidi Haris

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s