Hentikan politik berpecah, hilangkan sikap sombong yang merugikan

Melihat kepada krisis yang semakin melebar dalam Perikatan Nasional (PN) terutamanya antara UMNO dan PPBM sekarang ini, menunjukkan perpaduan dalam ‘kerajaan Islam’ PN semakin goyah. Ketiga-tiga parti ini semua parti Melayu-Islam. Sepatutnya tidak ada masalah bersatu untuk membina kekuatan.

Namun, masalah demi masalah terus berlaku dan perselisihan demi perselisihan menjadi semakin melebar. Ketiga-tiga parti Melayu-Islam ini harus sedar bahawa Islam adalah satu-satunya agama yang menyeru kepada penyatuan dan sangat memandang sirius soal perpecahan.

Kenapa UMNO, PPBM dan PAS dalam PN yang semuanya parti Islam tidak boleh bersatu? Kenapa terlalu sukar untuk berpegang kepada ajaran Islam ini. Jawapannya adalah SOMBONG. Sifat sombong ini adalah sifat iblis, makhluk yang paling dimusuhi oleh Allah SWT. Jadi kalau ada orang yang masih menyimpan sifat sombong, dibelai-belainya bererti dia mengikut iblis, bukan ikut Allah Azzawajalla.

Rasulullah SAW bersabda: “Tidak akan masuk Syurga orang yang di dalam hatinya terdapat sebesar biji sawi daripada kesombongan.” (HR Muslim)

Apa yang berlaku sekarang, UMNO selaku parti yang paling senior dan paling banyak mendapat kerusi, sudah tentu mahukan lebih banyak kerusi. PPBM (BERSATU) meskipun masih baharu, tidak punya kekuatan akar umbi, tetapi lebih banyak bersandar kepada Perdana Menteri (PPBM), pasti tidak mahu mengalah kepada UMNO.

Jika ‘perbalahan’ antara kedua parti ini, yang asalnya satu iaitu UMNO tidak dapat diselesaikan, tidak mustahil ultra kiasu akan kembali berkuasa. Jika itu terjadi lagi, selepas ini kita hanya akan mengigit jari. Pada PRU 15, jika jatuh lagi, memang tidak akan bangun-bangun lagi, kerana ultra kiasu sudah menjadi terlalu kuat.

Sebenarnya, Jika UMNO dan PPBM boleh bersatu, tidak mustahil Selangor akan dapat ditawan semula, begitu juga Pulau Pinang. Pokoknya, parti-parti Melayu-Islam mesti bersatu. Jika PAS yang begitu lama berseteru dengan UMNO pun boleh bersatu atas kepentingan agama, bangsa dan negara.

Kenapa UMNO dan PPBM yang asalnya PPBM daripada UMNO, tidak boleh bersatu. Semua ini kerana sombong yang tinggi dan dendam.

Marilah kita mengorak langkah untuk membuang sifat sombong jauh-jauh. Masukkan Islam dalam diri. Mudah-mudahan, sombong akan tertunduk dengan Islamnya diri kita. Fikirkanlah soal masa depan anak bangsa, maka bersatulah. Musuh-musuh melihat sahaja dan sedang mengatur strategi. Justeru, segeralah mencari ubatnya.

Apakah ‘ubat’ kepada penyatuan ini? Jawabnya adalah kita mesti kembali kepada agama Allah Rabb al-Jalil iaitu dengan meletakkan kepentingan agama (Allah SWT) mengatasi segala-galanya. Tidak ada yang lebih mulia dalam kehidupan, melainkan dengan meletakkan Al-Quran dan Sunnah sebagai rujukan apabila berlaku pertikaian.

Maksud Firman Allah SWT: “Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai-berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (Ali ‘Imran: 103).

“Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al-Quran) dan Rasul (Sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan Hari Kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya.” (QS An-Nisa’: 59).

Kemudian, buang segera sombong itu jauh-jauh. PPBM jangan terlalu sombong hanya kerana PM adalah dari kalangan ahli partinya. Percayalah, akar umbi PPBM tidak kuat, bergantung kepada UMNO/PAS untuk menggerakkannya pada PRU 15 akan datang. Jika PPBM menuntut lebih daripada sepatutnya, sudah tentu tidak berlaku adil dengan yang lain, yang lebih senior dan berpengaruh.

PPBM perlu sedar bahawa ia adalah parti baharu. Pengikut masih belum ramai. Begitu juga dengan kekuatan pengikut dan jenteranya. Logiknya, PPBM tidaklah boleh menuntut lebih daripada apa yang diperolehi oleh parti-parti abangnya. Realiti tidak berlaku sebegitu.

Sementara UMNO selaku parti yang paling senior, hendaklah bertindak secara hikmah dan matang. Kita tidak boleh bayangkan ada pemimpin UMNO yang sanggup bekerjasama dengan ultra kiasu bagi menjatuhkan pimpinan PPBM. Jika itu berlaku, ia adalah satu malapetaka. UMNO mesti mengakui dan menerima kewujudan PPBM kerana ia memang tidak dapat disangkal lagi.

Ingatlah! Tertubuh PPBM adalah disebabkan oleh kelemahan dalam UMNO itu sehingga menyebabkan perpecahan berlaku. Terimalah hakikat ini. Memang tidak dinafikan bahawa UMNO perlu diberikan kerusi yang paling banyak berbanding rakan-rakan parti dalam PN. Namun, perkara ini perlu dilakukan dengan strategi yang paling bijaksana.

Kita mesti kenal siapakah musuh kita yang sebenar? Perkara ini perlu jelas. UMNO dan PPBM adalah sesama saudara dan seagama ibarat air dicincang tidak akan putus. Isunya hari ini, siapa memerlukan siapa? Jawapannya, tiada siapa memerlukan siapa, tetapi sebenarnya adalah apa? Apa yang benar, apa yang salah, yang telah dilakukan selama ini. Muhasabahlah dengan segera sebelum terlambat.

Ingatlah wahai semua pemimpin Melayu yang beragama Islam!!! Hidup ini tidak kekal lama. Kuasa dan semua yang ada hanya sementara. Tidak ada siapapun yang boleh menongkat langit. Perkiraan akhir kita, mahu ke syurga atau neraka. Syurga sudah terbentang luas, kenapa neraka yang dicari.

Oleh itu, gerakan menyatukan ummah ini mesti dilakukan segera sebelum nasi menjadi bubur. Tidak ada gunanya lagi menyesal jika sudah menjadi bubur walaupun menangis air mata darah sekalipun.

Ditulis oleh Al Firqah An Najiyah yang merupakan pemerhati politik dan isu semasa

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: