Categories
Negara

Isu Kalimah Allah: Keberanian Politik demi keharmonian beragama

Tawhid atau Monoteisme merupakan asas dan teras ketuhanan bagi Agama Islam yang membedakannya secara jelas dengan ketuhanan bagi agama-agama lain sama ada yang politeisme mahupun semi-politeisme. Bagi umat Islam, Allah SWT Dia-lah Tuhan Yang Maha Esa, Yang Menjadi Tumpuan Segala Hajat, Yang Tidak Beranak dan Tidak Pula Diperanakkan, dan Tiada Yang Serupa Dengan-Nya yang merupakan sifat-sifat Tuhan yang tiada keraguan, perubahan dan pertikaian sepanjang sejarah perkembangan tradisi kefahaman dan keilmuan tentang ketuhanan dalam Islam berbanding dengan agama-agama yang faham dan sifat ketuhanan mereka berevolusi dan mengalami perubahan mengikut zaman dan lingkungan.

Justeru bila penggunaan nama khas Allah SWT ini dibenarkan bagi penganut Agama Kristian untuk dinisbahkan kepada Tuhan Kristian sudah tentu ia mengundang penentangan dari umat Islam dan dianggap menyalah-guna jika tidak mempermainkan nama Allah SWT Yang Maha Mulia dan Suci tersebut.

Bila Hakim Mahkamah Tinggi, Yang Arif Datuk Nor Bee Ariffin membenarkan penggunaan kalimah Allah bagi merujuk kepada Tuhan orang-orang Kristian, beliau berpendapat kebenaran ini tidak akan mengancam keselamatan negara. Bila Menteri Agama (Islam) dan begitu jugalah Menteri Dalam Negeri enggan memberikan sebarang pendirian dan tindakan Kerajaan Majoriti Melayu-Islam tentang keputusan ini, sebahagian besar umat Islam di Tanah Air berasa kesal dan kecewa.

Malah sikap bersahaja Menteri Undang-Undang dari Parti Islam Se-Malaysia telah mencetuskan keresahan umat Islam yang prihatin terhadap penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian. Dari kekesalan, kekecewaan dan keresahan ini lama-kelamaan ia akan membangkitkan kemarahan umat Islam sekiranya perkara ini gagal ditangani dengan tuntas oleh pihak pemerintah dan penguasa agama Islam yang diamanahkan untuk memelihara salah-satu dari Maqasid Syariah Islam iaitu pemeliharaan kemurniaan Din al-Islam dari sebarang bentuk penyelewengan dari dalam dan luar Islam.

Bagi umat Islam yang memiliki faham ketuhanan yang jelas dan tegas tentang konsep Tawhid atau Monoteismenya sejak dari permulaan kedatangannya berbanding dengan agama Kristian yang faham ketuhanannya mengalami evolusi dan kontekstualisasi tempatan tentulah berasa tidak gembira dengan keputusan mahkamah yang membenarkan terbit syubhah atau kesamaran tentang penggunaan nama Allah SWT tersebut.

Bagaimanapun kekesalan, kekecewaan dan keresahan umat Islam ini tidak boleh dianggap sebagai tanda umat Islam merasa terancam dan tertekan apatah lagi tidak berupaya mempertahankan agama dan akidah mereka secara rasional, logikal dan ilmiah. Bagi umat Islam, kebenaran penggunaan nama khas Allah bagi penganut agama Kristian adalah satu bentuk syubhah aqidah atau kesamaran tentang ketuhanan yang perlu diperbetulkan bagi memelihara kemurnian Tawhid atau Montheisme Islam tidak kira dari mana ia dicetuskan sama ada dalam atau luar Islam.

Dalam konteks ini, sesiapapun dikalangan umat Islam yang memahami dan menghayati keimanan atas dasar Tawhid dan Monotheisme yang tulin dan tulus tidak akan sekali-kali membenarkan penggunaan kalimah Allah digunapakai dalam konteks agama lain lebih-lebih lagi bagi agama politeisme atau ketuhanan pelbagai.

Jika selama ini dasar pihak Kerajaan dan penguasa agama di negara ini seringkali menutup Kotak Pandora perbahasan antara pelbagai agama atas alasan demi keharmonian beragama dan ketenteraman awam, maka dengan kebenaran penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian, umat Islam akan terpaksa membawa ke perhatian umum di ruang-ruang awam bagi menjelaskan kerancuan, kekeliruan dan kesamaran faham ketuhanan Triniti Kristian berbanding dengan kejelasan, ketegasan dan kebenaran faham ketuhanan Tawhid Islam.

Dalam ertikata yang lain, umat Islam kini terpaksa bersedia berdialektik dan berdialog secara terbuka dengan mana-mana pihak tentang isu Ketuhanan dan Teologi yang telah sekian lama dibahaskan dalam tradisi keilmuan ketuhanan Islam dalam mendepani syubhah-syubhah ketuhanan agama-agama lain seperti yang timbul dari penggunaan kalimah Allah bagi penganut agama Kristian.

Disinilah umat Islam di Malaysia mengharapkan keberanian dan ketegasan politik Kerajaan yang memerintah atas nama Kerajaan Melayu-Islam dan agensi pentadbir agama Islam yang berkuasa dalam menangani isu ini supaya bersikap proaktif demi memelihara keharmonian beragama yang telah sedia kita jalani selama ini.

Tanpa keberanian dan ketegasan politik dalam menangani isu kalimah Allah ini dibimbangi keharmonian beragama yang kita kecapi selama ini mungkin akan berakhir memandangkan peningkatan pertembungan pemikiran, ideologi dan agama akibat dari kegagalan Rasionalisme, Liberalisme dan Modenisme menunaikan janji-manis kemajuan dan kebahagiaan hidup. Sebaliknya Relativisme, Anarkisme dan Pascamodenisme mula mempengaruhi pendekatan agama-agama termasuklah penggunaan nama khas Tuhan agama lain untuk agama-agama mereka.

Dr Amran Muhammad
Islamic and Strategic Studies Institute (ISSI)

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s