KDN lancar Sistem Imigresen Bersepadu Nasional ganti myIMMs

KUALA LUMPUR – Kementerian Dalam Negeri (KDN) hari ini melancarkan projek Sistem Imigresen Bersepadu Nasional (NIISe) bagi menggantikan Sistem Imigresen Malaysia (myIMMs) yang telah beroperasi lebih 20 tahun.

Menterinya Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata kerajaan telah meluluskan peruntukan yang khusus untuk membangunkan NIISe agar sistem keimigresenan negara kekal relevan.

Beliau berkata ini termasuklah aspek sistem penyampaian perkhidmatan kepada rakyat serta kedaulatan dan keselamatan negara.

“KDN sedar tahap keselamatan merupakan agenda utama kerajaan dan kementerian bertanggungjawab bagi memastikan semua rakyat dan penduduk merasakan benar-benar selamat untuk tinggal di dalam negara,” katanya semasa berucap melancarkan majlis berkenaan di sini hari ini.

Hamzah berkata perkara utama yang harus dipertingkatkan adalah kawalan di pintu-pintu masuk negara bagi memastikan setiap kemasukan telah dipastikan lulus tapisan dan benar-benar layak untuk memasuki negara ini.

“NIISe dijangka dapat beroperasi sepenuhnya pada 2024 dan saya yakin dengan pelaksanaan sistem baharu ini, perkhidmatan keimigresenan akan terus diperkasa bagi memastikan kedaulatan dan keselamatan negara dapat dipelihara,” katanya.

Beliau berkata sistem imigresen sedia ada iaitu myIMMs perlu digantikan dengan satu sistem imigresen yang lebih canggih, bersepadu dan holistik dilengkapi dengan teknologi terkini seperti Kecerdasan Buatan (AI), Internet Benda (IOT) dan Analisis Data Raya (BDA).

Hamzah berkata syarikat IRIS Information Technology Systems Sdn Bhd akan membangunkan sistem NIISe ini bersama KDN dan badan-badan bebas yang lain dalam tempoh 54 bulan akan datang.

“Sistem NIISe ini akan memodenkan perkhidmatan Jabatan Imigresen melalui aplikasi dengan ciri-ciri yang canggih dan terkini.

“NIISe juga akan dilengkapi dengan ciri-ciri keselamatan seperti pengesahan pelbagai faktor, yang memerlukan kombinasi kata laluan, ID dan biometrik pengguna sebelum kakitangan jabatan atau kementerian dibenarkan mengakses sistem,” katanya.

Hamzah berkata sebarang aktiviti dalam talian yang tidak teratur dan mencurigakan akan dapat dipantau secara menyeluruh melalui National Immigration Command Centre dan tindakan pencegahan dapat diambil lebih cepat dan berkesan berbanding sistem sedia ada.

Beliau berkata selain itu, NIISe juga dibangunkan dengan keupayaan untuk membuat saringan awal kepada pelawat yang ingin masuk sebelum tiba ke Malaysia dan kemudahan ini amat penting bagi memastikan negara dilindungi daripada ancaman keselamatan yang kian mencabar dan kompleks.

Hamzah berkata penggunaan ‘Risk Assesment Engine’ yang mengaplikasikan teknologi AI dan BDA secara bersepadu bersama data-data daripada agensi keselamatan yang lain merupakan ciri terbaharu dalam menyediakan mekanisme pemantauan, pengesanan risiko dan tindakan pencegahan secara proaktif.

Turut hadir, Ketua Setiausaha KDN Datuk Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, Ketua Pengarah Imigresen Datuk Khairul Dzaimee Daud dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: