PAS henti sementara rundingan pembahagian kerusi dengan UMNO

MARANG – PAS menghentikan sementara rundingan pembahagian kerusi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dengan UMNO dan ketika ini rundingan yang ada hanyalah dengan Bersatu.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, rundingan dengan UMNO akan diteruskan setelah parti itu mempunyai keputusan atau hala tuju yang jelas tentang kerjasama bersama PAS dan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) bagi menghadapi PRU15 akan datang.

“Sekarang ini sudah ada pimpinan PAS yang melaksanakan tugas itu (pembahagian kerusi) dengan Bersatu. Dengan UMNO pula, dulu sudah ada jawatankuasa yang dibentuk tetapi UMNO yang ubah di tengah jalan. Oleh kerana UMNO bermasalah, kita dengan Bersatu dulu (bincang mengenai pembahagian kerusi),” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan kuliah Jumaat secara dalam talian di sini hari ini.

Ditanya mengenai kenyataan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said yang menegaskan parti itu mahu bertanding secara solo pada PRU15 di negeri ini, Abdul Hadi berkat,a ia belum dimuktamadkan oleh pimpinan tertinggi UMNO di peringkat pusat.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, PAS seboleh mungkin masih mahu menyeru kepada perpaduan umat Islam dan masyarakat majmuk sekali gus mengelakkan berlakunya perpecahan.

“Muafakat Nasional (MN) bukan sahaja kerjasama antara PAS dengan UMNO…ia termasuk Bersatu. Itu dasar dan prinsip bersama yang kita dah bersetuju sebelum ini tetapi masalahnya pimpinan UMNO yang tak ikut, itu hak merekalah.

“Namun, saya difahamkan bukan semua orang UMNO begitu… jadi kita nak menyatukan orang Melayu. Bukan PAS dan UMNO sahaja Melayu, malah banyak pertubuhan bukan kerajaan (NGO), individu dan semua pihak kita kena terima dalam penyatuan… kecuali yang ekstrem, Melayu yang ekstrem itu kita tolak,” katanya.

Ditanya mengenai rakaman audio yang mirip suara Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang tular baru-baru ini pula, Abdul Hadi menegaskan PAS konsisten dengan pendiriannya dalam menolak sebarang bentuk penjajaran baharu untuk menubuhkan kerajaan selepas PRU15 terutama yang melibatkan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya.

“Tulen tak tulen itu (audio itu) saya tidak tahu, cukup masyarakat menilai. Kita menolak jajaran baharu dan bersetuju MN yang bukan sahaja melibatkan UMNO dan PAS tetapi juga Bersatu di samping semua kumpulan Melayu-Islam-Bumiputera serta masyarakat majmuk apabila Perikatan Nasional digabungkan,” katanya.
Rakaman audio telefon antara dua pemimpin berdurasi kira-kira empat minit itu dikatakan berlaku selepas ucapan penggulungan Ahmad Zahid ketika

Perhimpunan Agung UMNO 2020.
Bagaimanapun, kedua-dua pemimpin itu telah menafikan bahawa suara mereka yang dirakam dalam audio berkenaan dan menyatakan akan membuat laporan polis. – Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: