Categories
Negara

‘Nasihat Seri Paduka Baginda Pamerkan Kecaknaan’

Proses penvaksinan di Malaysia sudah dimulakan sejak 24 Februari 2021. Setakat 29 Mac 2021, pendaftaran menerusi applikasi MySejahtera mencapai 7,329,610 orang, iaitu 30.21 peratus daripada jumlah 24.3 juta penduduk Malaysia berusia 18 tahun ke atas. Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK) mensasarkan penvaksinan 80% populasi Malaysia berusia 18 tahun ke atas yang disasarkan menerima vaksin COVID-19 menjelang suku pertama tahun 2022.

Meskipun proses penvaksinan sudah bermula, sejak akhir-akhir ini kes baharu pada setiap hari melepasi angka 1,000. Pada 12 April 2021 kes baharu COVID-19 mencatatkan 1,317 yang menjadikan jumlah terkumpul setakat hari itu ialah 362,173 kes. Jumlah kematian ialah 1,333 orang. Hampir kesemua negeri mencatatkan kes baharu kecuali Wilayah Persekutuan Labuan.

Melihat kepada penularan wabak COVID-19 yang masih belum dapat dikawal maka tidak hairanlah KDYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah dalam Kenyataan Media Istana Negara pada 12 April 2021 bersempena menyambut kedatangan bulan Ramadhan mengulangai nasihat berhubungan tatacara kehidupan semasa wabak tersebut di samping seruan kepada umat Islam menggandakan amal soleh.

Sebagai melahirkan kecaknaan kepada kesihatan dan keselamatan seluruh rakyat, Seri Paduka Baginda bertitah supaya penganjuran majlis-majlis di seluruh negara sepanjang bulan Ramadan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan perintah-perintah yang ditetapkan Kerajaan selaras dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat dan Pemulihan di negara ini. Para petugas di barisan hadapan sentiasa dekat di hati, nasihat Baginda buat mereka agar lebih tabah menjalani ibadah puasa dalam suasana dan tatacara kebiasaan baharu sejajar dengan usaha untuk memutuskan rantaian penularan jangkitan COVID-19.

Umat Islam secara amnya pula turut dinasihati supaya terus cekal mengharungi ujian ini dalam kawalan kendiri serta berdisiplin untuk mematuhi prosedur operasi standard (SOP).

Nasihat Seri Paduka Baginda kelihatan tidak hanya buat rakyat, Baginda juga menasihati ahli-ahli politik untuk berganding bahu membasmi penularan wabak COVID-19. Baginda bertitah bahawa ahli-ahli politik perlu berperanan sebagai ‘role model’ untuk menyatukan rakyat serta mengamalkan urus tadbir yang baik berpaksikan amalan bersih, beradab dan berintegriti. Fokus perlu diberikan untuk membantu rakyat yang amat terkesan akibat ancaman wabak COVID-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik.

Baginda turut menyampaikan nasihat kepada Kerajaan untuk mengutamakan agenda pemulihan ekonomi dan memerangi penularan wabak COVID-19. Keutamaan dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 sewajarnya diberikan kepada usaha melawan wabak COVID-19 dan tindakan-tindakan affirmatif untuk memacu pemulihan ekonomi negara termasuklah Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Nasihat-nasihat Seri Paduka Baginda menunjukkan keutamaan yang diberikan ialah kesejahteraan rakyat dan kepentingan negara dalam menghadapi cabaran-cabaran semasa walaupun ada suara-suara nakal yang mentohmah bahawa Baginda memberi hayat kepada Jumaah Menteri pimpinan YAB Tan Sri Muhyiddin Mohd Yassin yang sudah kehilangan sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat. Pada hakikatnya, Baginda mengamalkan sikap yang tidak berkepartian lantaran turut menzahirkan jaminan kepada rakyat bahawa sistem pilihanraya berparlimen di bawah pemerintahan Raja Berpelembagaan yang mendukung prinsip keluhuran Perlembagaan Persekutuan akan terus dipelihara di negara ini.

Pesanan Seri Paduka Baginda tersebut amat bertepatan dengan ruh Ramadhan yang menitikberatkan perasaan keinsafan, pembinaan ketaqwaan, penuburan sifat pemurah dan ikatan silatur rahim sesama insan. Mafhum daripada nasihat-nasihat Baginda begitu jelas iaitu untuk memberi ruang kepada Kerajaan bagi menumpukan agenda pemulihan ekonomi dan mengatasi penularan wabak COVID-19 dalam tempoh darurat sehingga 1 Ogos 2021 yang berbaki tidak sampai empat bulan. Justeru,

Kerajaan perlu menyusun semula gerakan penvaksinan agar kesihatan rakyat lebih terkawal dan kehidupan ekonomi boleh dirangka dengan lebih berstruktur.
Satu lagi pesanan Baginda yang tidak kurang pentingnya terkandung dalam nasihat bahawa sebuah kerajaan yang teguh merupakan prasyarat utama bagi kestabilan politik, pengukuhan ekonomi dan pembangunan negara yang lestari.

Tambah Baginda, pada ketika negara dan rakyat masih bergelut dengan wabak ini, kestabilan politik amat penting untuk menarik pelabur asing dan domestik bagi merangsang pemulihan ekonomi negara. Mesej yang boleh difahami ialah keyakinan rakyat kepada Kerajaan amat penting kerana dengan keyakinan itu juga, para pelabur lebih tertarik untuk datang ke negara kita.

Justeru, Kerajaan perlu mengambil kira tuntutan ahli-ahli Parlimen untuk diadakan sidang setidak-tidaknya selepas tarikh 1 Ogos 2021 dalam tatacara yang sesuai jika tempoh darurat perlu dilanjutkan.

Keputusan sama ada menamat atau melanjutkan tempoh darurat kini terletak pada nasihat Jawatankuasa Khas Bebas 2021. Seri Paduka Baginda melalui Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) 2021 telah memperkenankan untuk bertindak di atas nasihat Jawatankuasa Khas Bebas dalam hal itu. Perkenan Baginda untuk menerima nasihat Jawatankuasa Khas Bebas mencerminkan sikap yang tidak berpihak serta berharapkan ketelusan daripada semua ahli Jawatankuasa Khas Bebas untuk memainkan peranan masing-masing.

Jawatankuasa Khas Bebas yang terdiri daripada pakar-pakar dalam pelbagai bidang dan wakil-wakil parti politik sudah pasti perlu menimbangkan banyak faktor sebelum menyembahkan nasihat kepada YDPA tentang kewujudan berterusan darurat besar atau penamatannya. Setiap aspek perlu diperhalusi dan sewajarnya setiap pandangan direkodkan bagi rujukan rakyat. Rakyat mungkin tertanya-tanya bentuk laporan dan dapatan yang diperolehi sejak penubuhan Jawatankuasa Khas Bebas.

Nasihat-nasihat yang disampaikan oleh Seri Paduka Baginda dalam Kenyataan Media Istana Negara sesungguhnya mencerminkan kecaknaan Baginda kepada kesejahteraan rakyat, kepentingan negara serta tanggungjawab untuk menegakkan pemerintahan yang adil dan keamanan dalam negara. Kita dapat melihat dengan jelas bahawa kesejahteraan rakyat sentiasa menjadi keutamaan Seri Paduka Baginda.

Ditulis oleh Datuk Profesor Madya Dr. Wan Ahmad Fauzi Wan Husain, Universiti Malaysia Pahang

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s