Categories
Pendidikan

Nurul Fatin, Siti Naziah raih kedudukan 10 terbaik dunia peperiksaan ACCA

KUALA LUMPUR – Dua pelajar Pusat Perakaunan Profesional Malaysia (MyPAC) berjaya menempatkan diri dalam kalangan 10 teratas pada peperiksaan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) bulan lepas.

Menurut kenyataan MyPAC hari ini, Nurul Fatin Nabihah Hamdan, 25, dan Siti Naziah Mohamad Nazid, 21, yang masing-masing daripada keluarga B40, adalah antara 92,000 calon dari seluruh dunia yang menduduki sesi peperiksaan pada Mac 2021.

Nurul Fatin Nabihah berjaya menduduki tempat pertama di Malaysia dan ketujuh dunia bagi kertas Strategic Business Reporting (SBR). Beliau adalah lulusan Sarjana Muda Perakaunan (Kepujian) daripada Universiti Teknologi Mara.

Menurut kenyataan itu, Nurul Fatin Nabihah memutuskan untuk memperoleh kelayakan perakaunan profesional bagi meningkatkan peluangnya mendapat pekerjaan, dan menerusi bantuan MyPAC, beliau menerima biasiswa daripada Yayasan Sime Darby dan memulakan program ACCA pada September 2020.

Berikutan penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), beliau meneruskan pengajian di rumahnya di Terengganu.

Hanya berbekalkan telefon bimbit, beliau juga lulus satu lagi kertas iaitu Advanced Taxation (ATX) pada peperiksaan itu, bermakna beliau hanya ada dua lagi kertas pada peringkat ‘Strategic Professional’ serta dijangka menamatkan kelayakan ACCA beliau pada September ini.

MyPAC berkata, Siti Naziah pula berjaya menduduki tempat pertama di Malaysia dan kesembilan di dunia bagi kertas Audit and Assurance, serta mula menimbang secara serius peluang kerjaya sebagai akauntan profesional selepas menghadiri sesi taklimat MyPAC di Maktab Rendah Sains MARA Kuala Kangsar.

Belajar di rumah di Perak sepanjang PKP adalah cabaran bagi Siti Naziah, berikutan beliau sering gagal dalam ujian yang diberikan oleh pensyarah serta hampir berputus asa.

Bagaimanapun, hasil motivasi dan nasihat rakan baik serta kaunselor di MyPAC, beliau dapat kembali fokus sehingga mampu lulus kertas peperiksaan yang diambil dan memperoleh markah tertinggi di negara ini. Beliau masih mempunyai empat kertas untuk diselesaikan dan dijangka menamatkan kelayakan ACCA pada Mac 2022.

Ketua Pegawai Eksekutif MyPAC Datuk Zaiton Mohd Hassan menyifatkan kejayaan dua pelajar terbabit yang juga anak keluarga B40 dan golongan asnaf, adalah bukti bahawa golongan itu mampu memperoleh kelayakan profesional, jika diberi peluang dan bimbingan.

Beliau berkata, MyPAC akan terus bekerjasama rapat dengan pelbagai syarikat korporat dan pihak berkuasa zakat bagi memilih dan membiayai pelajar daripada keluarga kurang bernasib baik yang layak, untuk mendapatkan kelayakan perakaunan profesional seperti ACCA dalam usaha meningkatkan bilangan akauntan profesional bumiputera.

Zaiton berkata, kejayaan MyPAC juga adalah hasil sokongan Kementerian Kewangan sejak 2018.

“Keyakinan Kementerian Kewangan terhadap MyPAC mendorong kami untuk meningkatkan lagi usaha dalam menambah jumlah akauntan profesional bumiputera, sekali gus menyokong pertumbuhan negara pada masa depan,” katanya. -Bernama

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s