Categories
Islam Kolumnis Negara

Hidayah kini menghujani golongan artis?

“Penghijrahan” semakin ramai artis kepada imej Islamik adalah satu petanda baik dan kita bersyukur dengannya. Fenomena ini bukannya baru tetapi mengingatkan kita kembali kepada kisah beberapa artis terkenal tanahair sekitar tahun 70’an seperti Noorkumalasari dari keluarga anak wayang, Rahimah Rahim dari Singapura juga terkenal di era tahun 70’an yang suatu ketika menggemparkan negara apabila pulang dari Mekah bukan sekadar bertudung tetapi berpurdah.

Manakala di tahun-tahun 80’an, kisah pelakon Fauziah Ahmad Daud atau lebih dikenali dengan panggilan Ogy, dan yang paling sensasi Sahara Yaacob yang terlibat dengan kumpulan Al-Arqam suatu ketika dahulu juga membawa cerita yang sama.

Alhamdulillah, semua itu adalah sesuatu yang baik, dan hari ini kita sudah boleh lihat ramai artis wanita kini berhijab. Terbaru ialah Noor Neelofa Mohd Noor, masyhur dengan jenama Neelofar. Namun tidak kurang juga ada yang berpatah balik menanggalkan tudung, tidak selesa berhijab.

Nama-nama ini disebut kerana mereka merupakan antara artis paling menonjol di pentas industri hiburan dan idola kepada ramai peminat. Mereka mempunyai fan club sendiri, dengan keahlian mencecah lebih sejuta orang.

Apa sahaja dimuatnaik di laman instagram peminat akan meniru atau membeli produk mereka. Kerana itu golongan artis ini kena jaga penampilan mereka, terutama artis yang masih giat berlakon, malah pemakaian hijab mereka menjadi trend, “fesyen Islam yang longgar” yang sebenarnya kalau ikut hukum tidak menepati Syariat sepenuhnya, kerana “cara berhijab” terlalu trendy.

Namun begitu ada yang berpandangan itu lebih baik daripada artis yang tidak mahu menutup aurat langsung, apatah lagi yang hanya mahu mencari keuntungan dengan berniaga. Sebab itu ada yang berhijab tetapi perangai masih belum berhijrah.

Contohnya seorang artis bersama suami baru dinikahinya, tular di laman sosial merentas sempadan ketika seluruh negeri Selangor dan Kuala Lumpur masih melaksanakan PKPB semata-mata hendak shopping karpet baru. Betul, wang yang banyak boleh beli apa sahaja, tetapi wang yang banyak itu juga tidak dapat membeli mulut-mulut netizen yang hendak mencerca!

Demikian juga dengan artis lelaki, yang sebenarnya mereka ini lebih “berbahaya” lagi kerana ramai sudah dapat title “ustaz” dan berceramah dan menyampaikan tazkirah. Tak dinafikan ada sesetengahnya tahu batasan dan menjaga tutur kata. Yang membimbangkan ialah yang terlajak cakap dan apabila ditegur kesalahannya itu, ia masih berkeras mahu menegak benang yang basah.

Kita bersyukur kerana rata-rata artis yang berhijrah ini mengikut kumpulan dakwah Tabligh seperti Zul atau nama sebenar Nurzul Suphia’an Sa’ban vokalis dari band Handy Black, pelakon Amar Asyraf, dan penyanyi rock terkenal, Datuk Nashrudin Elias atau Nash yang khabarnya sudah 5 tahun bersama jamaah Tabligh.

Tahniah kita ucapkan kepada mereka, tetapi berhati-hatilah kerana siapa kata-kata anda itu boleh membuat mereka yang jahil ikut apa yang anda katakan, kalau betul selamatlah anda, tapi kalau salah, anda bertanggungjawab membawa mereka kepada kesesatan.

Kita berlapang dada dan terima semua mereka yang hendak kembali kepada cara hidup Islam secara terbuka tanpa mengira latarbelakang baik artis, jurutera, pilot, doktor, peguam, dll asalkan pada dirinya ada Syahadah sekalipun mereka yang berasa-rasa fahaman yang dianutinya itu benar seperti Syiah, Wahhabi, Khawarij, Liberalisme, Pluralisme, anti-Hadith, dan ajaran sesat.

Tetapi malangnya kerana kejahilan ilmu, ada yang akhlaknya masih belum berhijrah dan lebih malang lagi penghijrahannya kepada yang menyesatkan.

Inilah yang dibimbangkan – penzahiran Islam luaran menerusi pemakaian tudung dan berjubah nampak benar keislamannya, tetapi pada hakikatnya dan amalan peribadinya masih lagi belum berubah, malah perbuatan macam sama seperti sebelumnya, yang berubah hanyalah fesyen pakaiannya sahaja, dan yang paling ditakuti seperti yang disebutkan tadi berhijab sempurna tetapi menganut ajaran Syiah atau Wahhabi. Na‘udzubillah.

Penghijrahan luaran artis ini harus disokong, khususnya kepada artis wanita kerana ia lebih baik daripada berpenampilan seksi dan terdedah seperti sebelum penghijrahannya, namun masih perlukan tarbiyyah dan tazkiyah dalaman.

Maksudnya artis tersebut kena benar-benar sedar, dan faham konsep sebenar Islam itu, mereka wajib belajar ilmu agama itu dari asatizah yang diperakui keilmuannya, dan daripadanya dapat dibentuk ilmu dan adab yang betul supaya perubahannya itu adalah perubahan secara menyeluruh.

Kita tidak menjangkakan perubahan seperti para Sahabat Nabi SAW, tetapi sekurang-kurangnya ada peratus yang baik dalam mengikuti sunnah para Sahabat, kalau tak daya dengan sunnah Nabi SAW.

Sayangnya industri dan aktiviti seni budaya kita masih belum Islamik sepenuhnya, sekurang-kurangnya pada jangka masa terdekat tetapi mempunyai masa depan ke arah itu. Bukan retorik berbahasa atau kerana habuan wang tetapi ikhlas dapat dilihat pencapaian ini untuk perjalanan berikutnya yang pasti terpaksa melalui liku-liku halangan yang pelbagai terutamanya daripada golongan Islam-liberal atau sekarang ini mula menggunapakai istilah baru Islam Demokrat.

Mereka ini akan petah bercakap mengenai Islam, tetapi Islam yang dibawakan oleh mereka ini adalah Islam berdasarkan kepada akal mereka sahaja dan bahayanya ada di sebalik penampilan Islamik yang ditampilkan.

Yang amat dibimbangkan pemakaian dan lagak artis akan menjadi ikutan baru kepada anak-anak generasi muda dan ia membina public opinion tentang Islam. Islam mengajar umatnya memakai tudung tetapi selebriti mengajar pakai tudung ala-artis; Islam mengajar umatnya memakai hijab, tetapi selebriti mengajar pakailah hijab ala-artis. Salah ke?

Jawabnya tidak salah asalkan ia bukan untuk tatapan orang ramai. Sebab tujuan menutup aurat itu sendiri membawa maksud menghindari daripada dilihat orang lelaki ajnabi.

Bukankah Melayu itu berhati lembut, Melayu itu seorang yang pemaaf, dan cepat pula menerima sesuatu dan terbaru dunia hiburan!

Dikirim oleh Haji Rashidi bin Haris yang merupakan Ketua Aktivis Pertubuhan MUAFAKAT

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s