‘Jangan angkat pemimpin bebal dan pandir dalam PRU-15’ – Prof. Ridhuan Tee

Mutakhir ini, semakin menampakkan pemimpin politik yang bebal dan pandir, terutama selepas berlakunya insiden perlanggaran tren transit aliran ringan (LRT).

Bebal dalam kamus dewan bermaksud bodoh atau otak tumpul. Kata akar bebal ini ditambah menjadi bebalisme oleh sarjana ulung, Almarhum Prof Syed Hussein Alatas (1977) merujuk kepada satu sikap, merujuk kepada orang-orang bebal (the fools). Saya sempat berguru dengan almarhum pada tahun 1996.

Tanda-tanda bebal ini dapat dilihat melalui ketidakmampuan menganalisa masalah, ketidakmampuan menyelesaikannya jika masalah itu dikemukakan kepadanya, ketidakmampuan mempelajari apa yang diperlukan, ketidakmampuan mempelajari seni belajar, dan tidak mengakui kebodohannya.

Bebal dan pandir bukan hanya dalam kalangan orang tolol biasa, tetapi tersembunyi dalam kalangan ahli parlimen, pemimpin politik, ahli akademik dan pelbagai peringkat masyarakat.

Dalam kalangan pemimpin, ia bermula dengan ahli politik, diangkat menjadi ahli parlimen, kemudian diangkat menjadi ahli kabinet

Bebal dan kepandiran ini sukar diukur melalui statistik, tetapi kenyataan mereka,seperti ucapan-ucapan di Parlimen dan sebagainya.

Bebalisme bukannya ideologi atau sistem kepercayaan. Bebalisme merupakan parasit dalam fikiran secara tidak sedar.

Antara ciri-ciri orang bebal Menurut Syed Hussein Alatas adalah

Pertama, tidak mempunyai daya menjangka dan melihat ke hadapan. Kebiasaannya mereka hanya bertindak balas terhadap peristiwa selepas kejadian berlaku atau action oriented bukannya pro aktif. Golongan ini selalunya hanya membuka payung setelah hujan. Sudah tentu sikap seperti ini amat merugikan wang negara.

Kedua, rendahnya semangat untuk mengkaji dan kurangnya hasrat untuk berusaha. Semangat berfikir yang lesu dan pasif. Berahi dalam menonjolkan dan mengiklankan gambar-gambarnya.

Ketiga, bersikap autoritarian. Orang ini mengharapkan orang lain menerima apa yang dikemukakannya tanpa alasan.

Keempat, mempunyai kecenderungan yang tinggi untuk melakukan generalisasi.

Kelima, tidak mempunyai kecintaan terhadap hujah-hujah dan tiada penghargaan terhadap kemuliaan akal.

Unsur bebal boleh dikesan, misalannya dalam menjawab soalan yang diajukan. Jawapan kepada soalan yang ditanyakan akan memperlihat kefahaman yang rendah terhadap soalan itu sendiri, sehingga menampakkan ketololannya.

Keenam, tidak mempunyai kemampuan membuat penilaian dan menganalisis masalah secara kontekstual dan mendalam. Dalam kata lain, tidak ilmiah dan bersifat sepotong-sepotong.

Ketujuh, lekas percaya kepada perkara-perkara di luar kebiasaan (paranormal) seperti tahyul dan karut-marut. Tidak menggunakan logik dalam berfikir.

Kelapan, tidak mempunyai kehalusan budi pekerti. Tidak merasa malu dengan kesalahan yang dilakukan kerana kebodohannya. Tidak takut dengan kekurangan intelektualnya. Tidak mahu mengakui kepandirannya.

Kesembilan, meningkatnya gejala rasuah jika memegang kuasa sehingga menjadi masalah nasional. Ditambah dengan ketidakcekapan birokrasi dan kerapuhan perancangan ekonomi.

Banyak lagi yang disenaraikan dalam mempamerkan bebalisme dan kepandiran. Dalam kata lain, kegagalan masyarakat membangun untuk maju adalah disebabkan oleh adanya orang bebal dan pandir.

Bebalisme dalam kalangan pemimpin ini mesti dihapuskan daripada puncak birokrasi jika sesebuah masyarakat ingin maju. Budaya berfikir mesti digerakkan. Jika tidak, rakyat akan terikut-ikut bebal dan pandir sehingga rosak.

Dalam mengatasi masalah ini, menurut anaknya Syed Farid Alatas (2016) ajaran bapanya sangat menekankan soal akhlak. Ilmu tanpa akhlak ada kemungkinan menjadi bahaya, manakala akhlak tanpa ilmu hanya akan menyebabkan yang tidak mempunyai ilmu mencarinya dari sumber yang sesuai. Watak yang mempunyai makarim al-akhlaq (kemuliaan watak) sentiasa berani membezakan antara yang benar dengan yang salah dan tidak merasa takut kehilangan kekayaan dan kedudukan.

Dengan orang-orang bebal ini datanglah nepotisme, pandangan kolot, politik parti kedaerahan, yang menentukan pemilihan dan kenaikan dalam tatatingkat kekuasaan pentadbiran. Orang-orang bebal tidak dapat menguasai keadaan. Rasuah menjadi ciri-ciri naiknya kekuasaan orang-orang bebal. Di mana orang-orang bebal berkuasa, maka nilai-nilai merekalah yang menjadi nilai-nilai masyarakat, kesedaran mereka menjadi kesedaran masyarakat. Dengan demikian runtuhlah akhlak masyarakat kita. Apakah masyarakat kita mempunyai pemimpin-pemimpin yang berpengaruh dan yang mempunyai cita sempurna untuk melawan cita bencana? Apakah pemimpin seumpama itu dapat muncul dan melawan unsur-unsur bebal dan jadong dalam negara kita (Syed Farid Alatas 2016)

“Janganlah kamu tanya tentang diri seseorang itu, tanyalah sesiapa sahabat-sahabatnya, kerana setiap insan itu bergantung kepada jenis manusia yang dia dampingi.”

Dalam kata lain, setiap insan yang baik akan mendekatkan dirinya kepada insan yang baik dan, sebaliknya, insan yang jahat akan cenderung untuk bergaul dan bermesra dengan orang-orang yang rendah akhlak.

Dipetik dari laman Facebook rasmi Prof. Dr. Ridhuan Tee Abdullah yang merupakan seorang ahli akademik dan pemerhati politik.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s

%d bloggers like this: