Categories
Politik

Pengundi mesti berani berubah, pemimpin mesti berani berundur!

Di sidang media memalukan yang berlaku baru-baru ini berkaitan insiden pelanggaran LRT, Ahli Parlimen yang menjawat jawatan Pengerusi Prasarana GLC jelas menunjukkan ketidakwibawaan peribadi beliau apabila membuat kenyataan sinis disusuli dengan gelak ketawa padahal beliau berkedudukan sebagai wakil kerajaan. Sidang media itu juga dihadiri wartawan dari luar negara.Inilah realiti apabila orang lama berada terlalu lama di pentas politik hingga lupa bahawa zaman sudah berubah.

Generasi muda hari ini sudah muak dengan orang lama yang masih dengan pemikiran old school. Zaman samseng sudah berlalu dan seharusnya sedar kini sudah tiba masanya beliau turun secara sukarela.

Orang lama ini masih terbawa-bawa fiil samseng yang telah sebati dalam diri – tanpa sedar terbawa-bawa sampai kepada semua perkara. Jika begini keadaannya, bagaimana parti hendak menang PRU15 nanti. Jangan sangka kerajaan gagal 22 bulan tidak lagi disokong rakyat sedangkan dalam diam mereka sudah pun mengatur strategi untuk PRU15.

Manakala parti-parti yang di sebelah sini masih lagi berkira-kira siapa patut bertanding, bahagian ini siapa punya kerusi, dan mendukacitakan masih ada lagi ahli parti dalam gabungan Perikatan Nasional (PN) yang tidak berpuas hati sebab wakil rakyatnya tidak dipilih menjadi menteri dalam kabinet.

Malangnya, apabila ada ahli yang menyuarakan pandangan seperti ini, pasti ramai yang akan marah, tetapi inilah hakikatnya. Sebagai marhaen tanpa ada apa-apa kepentingan dan sudah bertahun-tahun berada dalam parti, ramai di kalangan ahli berpendapat orang lama patut berehat.

Sebagai neraca diri orang lama harus bertanya kepada diri sendiri mengapa ramai anak muda Melayu generasi sekarang tidak mahu daftar sebagai pengundi? Kenapa pimpinan tidak go deep inside mencari solusi persoalan penting ini? Jentera parti jangan lagi buat dakwaan gembira untuk sedapkan hati pemimpin atau ketua bahagian sedangkan realiti sebaliknya.

Sebagai contoh, UMNO di Setiawangsa. Siapa sangka PKR dari PH boleh menang dengan mudah masa PRU14. Malangnya kerana ada yang berpaling tadah, dan ramai pengundi termakan hasutan: “kita try undi sebelah sana, jika tak bagus next PRU kita tukar balik kerajaan, bukan lama sangat pun, hanya 5 tahun aje.”

Akibatnya bukan setakat UMNO Setiawangsa sahaja yang kalah tetapi keseluruhannya tersembam dan habis khazanah yang dibangunkan oleh orang Melayu UMNO selama 60 tahun hilang begitu sahaja dalam masa 22 bulan.

Tidak dinafikan ramai ahli bawahan parti yang pernah bermain di padang becak berlumpur berbau busuk dan bukan daripada kalangan orang berkepentingan sudah mulai mengeluh, dan risau apabila melihat keadaan politik hari ini. Tidak dinafikan ada di kalangan mereka sudah menyesal dan berharap agar UMNO dan BN dapat memerintah semula.

Bagi mereka daripada bangsa apa sekalipun, itulah luahan hati mereka, dan amat mengharap agar kemelut parti, baik dalam gabungan Muafakat Nasional (MN), lebih lagi dalam gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) agar segera selesai persengketaan dalaman bagi menghadapi PRU15.

Jiran pernah bertanya: Apa sudah jadi dengan parti-parti politik orang Melayu yang jelas sudah berpecah-pecah sekarang? Macam mana nasib dan keadaan BANGSA MELAYU jika tak ada parti yang pemimpinnya benar-benar memperjuangkan nasib bangsa lagi?

Kerana bila orang lama dalam parti masih tidak mahu sedar diri, akibatnya generasi muda terus menjauhkan diri. Hari ini sudah ada yang kagum dengan penampilan Anwar Ibrahim (DSAI), sebab melihatnya berkarisma, kental dan berani walau keluar masuk penjara dan masih punya followers yang taksub dengan kata-katanya. Keadaan ini berlaku kerana anak muda tidak kenal latarbelakang DSAI.

Dari sudut yang lain pula, ada sebahagian rakyat masih menaruh harapan agar Dato’ Seri Mohd Najib menerajui semula kerajaan Malaysia selepas PRU15, dalam masa yang sama juga masih ramai yang menyokong PM Muhyiddin Yasin (TSMY), walaupun banyak kekurangan tetapi terus menyokong kerana sedar bahawa kerajaan beliau lebih bagus daripada kerajaan 22 bulan.

Kita tidak menafikan ramai ahli-ahli politik tidak bersetuju dengan polisi kerajaan PN, tetapi ini adalah pandangan rakyat, dan jangan sesekali menyangka TSMY tidak ada penyokong, dan jangan juga terkejut jika di PRU15, UMNO terus kalah. Kemenangan dalam beberapa PRK bukannya isyarat UMNO akan menang selesa. Entah apa sahaja boleh berlaku semasa dan sesudah pilihanraya.

Soal lompat-melompat sudah tidak lagi taboo bahkan adalah sebahagian daripada permainan politik. Maruah dan jati diri boleh saja dijual beli. Kita tahu ada kalangan wakil rakyat memang sudah masyhur dengan lompat melompat ini dengan memberi pelbagai alasan kononnya demi bangsa dan negara, atau kerana mahu mengekalkan kuasa di tangan orang Melayu dan berbagai-bagai lagi alasan yang semuanya adalah retorik politik semata-mata.

Mereka ini hanya mahu memastikan kerusi mereka selamat dan mendapat jawatan dalam kabinet atau mana-mana agensi kerajaan bagi mengaut habuan bergaji besar walaupun belot kepada parti. Justeru, sebagai PENGUNDI adakah kita mahu memilih mereka ini lagi sedangkan terang lagi bersuluh mereka belot kepada parti. Siapa sahaja boleh keluar parti selepas PRU.

Sudah tiba masanya mereka harus berjiwa besar, bukan berjiwa besar untuk terus mengaut kekayaan dengan membina mahligai besar dan memperkayakan anak beranak dan menantu, tetapi dengan memberi laluan kepada generasi muda yang masih ada dalam diri mereka semangat patriotik mahu membela agama, bangsa dan tanahair.

Tak kira daripada parti mana sekali pun, usia 70 ke atas adalah masa terbaik untuk beristirehat bersama keluarga, bagilah laluan kepada generasi baru dalam meneruskan perjuangan. Untuk UMNO khususnya ambillah iktibar daripada kekalahan BN dalam PRU14, walaupun ada yang masih mendabik dada mengatakan tidak tewas tetapi inilah petunjuk kepada orang lama yang berada di atas bahawa mereka harus turun secara sukarela.

Dikirim oleh Haji Rashidi bin Haris yang merupakan seorang blogger dan juga aktivis Pertubuhan MUAFAKAT.

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out /  Change )

Google photo

You are commenting using your Google account. Log Out /  Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out /  Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out /  Change )

Connecting to %s