Fri. Feb 23rd, 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan (KPM) tidak pernah menerima permohonan lengkap daripada Lembaga Pengurus Sekolah (LPS) bagi mempertimbangkan pembinaan bangunan tambahan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Khai Chee, Segambut, di tanah persendirian.

KPM dalam kenyataan hari ini memaklumkan permohonan yang lengkap perlu memenuhi tiga syarat ditetapkan kepada LPS bagi membolehkan pertimbangan sewajarnya dibuat.

“KPM menghargai usaha masyarakat yang turut menyumbang kepada pembangunan pendidikan negara. Bagaimanapun, KPM ingin menegaskan bahawa tindakan pihak LPS yang tidak menghiraukan teguran dengan terus membina bangunan tambahan di tanah persendirian adalah tidak wajar.

“KPM tidak boleh didesak oleh mana-mana pihak untuk menerima apa-apa bangunan sebagai sekolah kerajaan kerana kementerian tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang berkuat kuasa,” menurut kenyataan itu.

Menurut KPM, syarat yang ditetapkan iaitu pihak sekolah perlu mengemukakan bukti bahawa Chevron Malaysia Limited telah membuka atau melupuskan kaveat ke atas tapak berkenaan.

Selain itu, sekolah juga perlu mengemukakan semula skop projek supaya mematuhi Garis Panduan dan Peraturan bagi Perancangan Pembangunan oleh Jawatankuasa Kecil Piawaian dan Kos bagi Jawatankuasa Perancangan Pembangunan Negara, Jabatan Perdana Menteri.

Syarat ketiga pula LPS perlu mengemukakan surat jaminan untuk menyerahkan tapak dan bangunan baharu kepada kerajaan memandangkan sekolah tersebut adalah sekolah kerajaan.

Bermula pada 2012 hingga 2014, LPS melalui Guru Besar SJKC Khai Chee telah memohon untuk mendirikan satu blok bangunan di atas tanah persendirian sebagai bangunan tambahan kepada sekolah tersebut.

Memandangkan SJKC Khai Chee adalah sekolah kerajaan yang dibina di atas tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan (PTP), cadangan pembinaan bangunan tambahan perlu mematuhi tatacara pembinaan institusi pendidikan kerajaan.

Dalam kenyataan itu, KPM turut memaklumkan laporan dan tinjauan yang dibuat oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL) pada 2014 mendapati pembinaan bangunan tambahan telah dimulakan di tapak yang dicadangkan tanpa mendapat kelulusan daripada KPM.

Sehubungan itu, satu surat arahan pemberhentian kerja dikeluarkan JPWPKL pada 8 Dis 2014 memandangkan bangunan tersebut dicadangkan untuk digunakan sebagai sekolah kerajaan.

“Semakan JPWPKL mendapati bahawa LPS masih meneruskan kerja-kerja pembinaan bangunan tersebut. Oleh itu, JPWPKL mengeluarkan surat kedua arahan pemberhentian kerja kepada pihak LPS pada 7 Sept 2015.

“Arahan pemberhentian ini juga tidak dihiraukan oleh pihak LPS dan kerja-kerja pembinaan diteruskan sehingga bangunan tersebut siap dibina,” menurut kenyataan itu. – BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *