Fri. Feb 23rd, 2024

KUALA LUMPUR – Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melalui Timbalan Menteri Senator Datuk Mah Hang Soon dilaporkan bakal meneruskan pembinaan SJKC Sim Mow Yu, Kota Masai, Johor setelah dihenti pada tahun 2019 atas sebab tiada permintaan.

Menurut Hang Soon seperti dilapor Oriental Daily pada 25 Mac lalu, pelan pembinaan SJKC Sim Mow Yu akan dimulakan serta-merta sebaik sahaja Jabatan Perancangan dan Penyelidikan Pembangunan Pendidikan KPM menyelesaikan proses semakan.

“Kementerian Pendidikan juga berharap kanak-kanak di Kota Masai akan mendapat akses kepada pendidikan Cina apabila SJKC Sim Mow Yu dibina kelak,” katanya.

Menurut beliau lagi, para pemimpin MCA telah mengadakan majlis pecah tanah di tapak sekolah tersebut pada Mac 2018. Beliau mendakwa, selepas PH ambil alih kuasa kerajaan, rancangan pembinaan SJKC itu ditangguhkan pada tahun 2019.

Pemimpin MCA bersama pemaju dari syarikat Mah Sing meninjau pelan bagi pembinaan SJK (C) Sim Mow Yu. Foto: iProperty – 19/3/2018

“Timbalan Menteri ketika itu Teo Nie Ching mendakwa tiada permintaan dari murid-murid di daerah itu, lalu menangguhkan rancangan membina SJKC Sim Mow Yu,” katanya.

Mah dilaporkan berkata, sebaik sahaja dilantik sebagai Timbalan Menteri Pendidikan pada 2020, rancangan pembinaan 10 buah SJKC baharu dan pembinaan sekolah untuk menempatkan enam SJKC sedia ada, termasuk SJKC Sim Mow Yu telah diteliti.

Beliau juga menegaskan bahawa telah berkali-kali bertemu dengan Jawatankuasa Pembinaan SJKC Sim Mow Yu bagi membincangkan proses pembinaan sekolah itu.

Katanya, pada Februari tahun ini, satu perjumpaan telah diatur di antara pihak jawatankuasa itu dengan Pegawai Biro Pendidikan Negeri Johor serta pegawai majlis bandaraya bagi membincangkan pembinaan sekolah.

Foto: Google Satellite

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *