Mon. Jan 30th, 2023

BANGI – Umat Islam perlu menguasai ekonomi negara supaya dapat kembali bermaruah dan dihormati kaum lain.

Bahkan, melalui penguasaan ekonomi juga mampu menjadikan umat Islam menguasai dan mengubah polisi negara, kata Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni.

Beliau berkata, ekonomi adalah asas dan di antara ‘tiang seri’ kepada pembangunan yang bakal menentukan pentadbiran serta kemajuan negara.

“Bahkan, bila kita melihat sejarah penjajahan pun digerakkan banyak oleh faktor ekonomi dan ia merupakan satu tunjang kepada pembangunan negara,” katanya seperti dilapor Buletin TV Pertiwi, semalam.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas rancangan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) melancarkan Kempen Beli Barangan Muslim (BMF) 2.0 dalam masa terdekat untuk memperkasa semula ekonomi umat Islam.

Mengulas lanjut, Ustaz Muhammad Fauzi berkata, usaha yang dilakukan oleh NGO-NGO Islam melalui kempen itu sebenarnya di antara perkara asas untuk memangkinkan ekonomi umat Islam.

“Tetapi, sebenarnya pelan jangka panjang banyak lagi yang perlu untuk kita fikirkan di antaranya ialah untuk kita menggunakan segala sumber di atas tanah air kita sebanyak untuk manfaat tempatan.

“Macam sekarang, segala sumber hasil bumi kita digunakan oleh orang luar. Jadi kita sendiri terpaksa mengambil daripada luar,” katanya.

Justeru, beliau berkata, negara mesti menguasai ekosistem dengan sumber hasil Malaysia, dibangunkan sendiri dan digunakan rakyat tempatan.

Maka, daripada situ Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada eksport luar, katanya. – Portal Islam dan Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *