Thu. Dec 7th, 2023

KUALA LUMPUR – Setelah 76 ahli parlimen pembangkang yang rata-ratanya dari Pakatan Harapan bersuara, kini giliran pemimpin dari parti komponen Barisan Nasional iaitu MCA pula mempertahankan ahli parlimen Petaling Jaya, YB Maria Chin dalam kes hina mahkamah syariah.

YB Maria Chin telah dijatuhkan hukuman penjara 7 hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah kerana didapati bersalah memfitnah dan menghina mahkamah syariah dalam mengulas kes Emilia Hanafi.

Datuk Heng Seai Kie, Ketua Wanita parti MCA dalam satu kenyataan berkata, sebagai seorang ahli parlimen terutamanya ahli parlimen wanita, Maria punyai tanggungjawab untuk memberikan pendapat beliau tentang isu gender terutamanya jika beliau beranggapan ianya suatu ancaman nyata terhadap wanita.

“Selain itu, hukuman tujuh hari penjara yang dijatuhkan ke atas Emilia dan Maria akan menyebabkan duluan yang buruk dan mesej yang salah terhadap orang awam, terutamanya golongan muda,” katanya dalam kenyataan tersebut.

“Wanita bimbang terhadap isu keganasan domestik dan perlindungan terhadap ibu tunggal tidak diambil perhatian secukupnya, malah dinafikan,” katanya lagi.

Beliau juga berpendapat bahawa isu berbangkit di mahkamah sivil perlu diberikan perhatian dahulu sebelum Mahkamah Tinggi Syariah membuat keputusan.

Sebelum ini, ahli parlimen Petaling Jaya Maria Chin dijatuhi hukuman penjara tujuh hari oleh Mahkamah Tinggi Syariah di sini hari ini selepas didapati bersalah menghina mahkamah dengan mengkritik keputusan mahkamah itu yang menjatuhkan hukuman penjara ke atas bekas isteri seorang ahli perniagaan.

Hakim Syarie Mohamed Fouzi Mokhtar menjatuhi hukuman itu selepas mendapati artikel yang diterbitkan oleh Maria Chin selaku responden pada 5 Sept 2019 berkaitan kes membabitkan ahli perniagaan Datuk Wira SM Faisal SM Nasimuddin dan bekas isterinya, Emilia Hanafi, jelas merendahkan, memperlekehkan, memfitnah serta menghina Mahkamah Syariah.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *