Thu. Dec 7th, 2023

Mahkamah Tinggi diberitahu Majlis Agama Islam dan Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) tidak mempunyai sebarang urusan untuk campur tangan dalam petisyen perceraian antara ibu tunggal, Loh Siew Hong dan bekas suaminya, Muhammad Nagashwaran Muniandy yang kini memeluk Islam bersama tiga orang anak mereka.

Peguam Loh, A Srimurugan dan Dr Shamsher Singh Thind menyifatkan, permohonan majlis itu tidak lebih daripada tindakan orang luar dan penyibuk yang cuba terjerat dalam kehidupan serta didikan anak-anak Loh.

Mereka berhujah bahawa permohonan MAIPs berdasarkan hujahnya pihak itu perlu menunaikan kewajipan untuk menjaga mualaf adalah tidak boleh diterima.

Dalam kes ini, mereka berkata, Loh tidak memerlukan sebarang bantuan daripada sesiapa dan orang luar tidak sepatutnya memberitahu ibu tunggal itu apa yang perlu dilakukan atau mencampuri urusan keluarganya.

Shamsher berkata, majlis itu harus memberi tumpuan kepada membantu mereka yang memerlukan di Perlis dan bukannya cuba mencampuri urusan Loh dalam membesarkan anak kembarnya berusia 11 tahun dan seorang lelaki berusia 10 tahun.

“Anak-anak Loh tidak dilahirkan di Perlis. Mereka hanya dibawa ke sana dalam sehari dua, mungkin hanya beberapa jam untuk ditukarkan agama secara sebelah pihak oleh bapa mereka.

“Beliau tetap melakukannya meskipun hak penjagaan mereka telah diberikan kepada isterinya oleh mahkamah,” katanya seperti dilapor media tempatan. – Portal Islam & Melayu

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *