Thu. Dec 7th, 2023

KUALA LUMPUR – Persatuan United Sikhs Malaysia telah dikecam selepas mendakwa Filem Mat Kilau telah mencemarkan imej masyarakat Sikh.

Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya telah membidas kenyataan tersebut dengan menyifatkannya sebagai ‘melatah’ secara tiba-tiba sedangkan sudah beberapa minggu menjadi tontonan awam.

Aminuddin turut mempersoalkan kedudukan persatuan tersebut bagi mewakili masyarakat Sikh di Malaysia kerana menurutnya United Sikhs merupakan sebuah organisasi yang berpangkalan di New York, Amerika Syarikat.

“Sepatutnya mereka berbangga kerana filem ini memaparkan penindasan British yang berlaku terhadap nenek moyang mereka selain yang ditonjolkan terhadap orang Melayu,” kata Aminuddin.

“(iaitu) Di mana nenek moyang mereka dipaksa menjadi sebahagian dari pasukan dihambakan untuk menjalankan agenda kolonial British”

“Melainkan mereka ini memang pro-British yang menganggap kedatangan British dan ‘hamba-hambanya’ ke Tanah Melayu dahulu adalah demi kemajuan”

“Jika ya, saya tidak pelik kerana United Sikh memang berpangkalan di Amerika Syarikat di mana memang sekutu British pun, termasuk dari segi fahaman dan cara fikir,” kata Aminuddin lagi.

Aminuddin menegaskan bahawa filem ini berlatarbelakangkan Tanah Melayu era tahun 1800-1900. Oleh itu, memanglah ianya berkisar perjuangan orang Melayu sahaja.

“Tak ada salah pun kalau bangsa lain tidak ada (bersama Mat Kilau) dalam filem,” katanya.

“Kerana bangsa-bangsa lain yang didatangkan oleh British pada era itu bukan warga tempatan, malah rata-ratanya adalah rakyat British”

“Janggal pula kalau nak tonjol bangsa lain berjuang bersama Mat Kilau menentang British,” katanya lagi.

Persatuan United Sikhs Malaysia dalam satu kenyataan rasmi mendakwa kononnya Filem Mat Kilau telah menggambarkan kaum dan agama lain sebagai penjahat.

Mereka mempercayai perkara ini boleh menyebabkan ketidakharmonian.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *