Mon. Jan 30th, 2023

AL QUR’AN sudah memberi peringatan ini sebagaimana terdapat dalam Surah Al An’aam : ayat 70 Allah memberi peringatan:

“Dan jauhkanlah diri dari orang-orang yang menjadikan agama mereka sebagai permainan dan hiburan, dan mereka pula telah diperdayakan oleh kehidupan dunia dan peringatkanlah (mereka) dengan Al-Quran itu supaya tiap-tiap diri (di akhirat kelak) tidak terjerumus (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang ia telah usahakan (dari perbuatan yang buruk dan keji).”

2. Dalam ayat yang sama sambungannya berupa ayat ancaman kepada mereka yang dengan sengaja melanggar larangan Allah SWT ini iaitu;

“Tidak ada baginya pelindung dan tidak juga pemberi syafaat yang lain dari Allah. Dan jika ia hendak menebus (dirinya) dengan segala jenis tebusan, (nescaya tebusan itu) tidak akan diterima daripadanya. Mereka itulah orang-orang yang dijerumuskan (ke dalam azab neraka) dengan sebab apa yang telah mereka usahakan. Bagi mereka disediakan minuman dari air panas yang menggelegak, dan azab sikaa yang tidak terperi sakitnya, disebabkan mereka kufur engkar (semasa hidupnya).”

3. Jelas sekali ayat ini berupa nasihat dan juga ancaman yang menakutkan bagi mereka yang tidak beriman. Pelaku ketika berlawak mengaku menghafal sehingga tujuh belas juzu Al Qur’an tetapi memperlihatkan akhlak buruk apabila secara terbuka menanggalkan pakaian di depan khalayak ramai dengan menjadikan hukum larangan mendedahkan aurat itu sebagai bahan senda gurau padahal Al Qur’an mengajar dalam ayat Al An’aam jangan jadikan agama sebagai bahan senda gurau.

4. Alasan untuk membuat hadirin di kelab komedi ketawa dengan cara membuka pakaian (mendedahkan aurat) itu adalah lakonan semata-mata maka kelakuan ini merupakan kebiadaban melampau sebab hanya agama palsu lagi sesat sahaja yang memperbolehkan umatnya memperbodoh-bodohkan hukum hakam dalam agamanya.

5. Alasan dipaksa oleh orang tertentu supaya melakukan perbuatan-perbuatan bukan atas kerelaannya, meleset jauh dari gerakgeri tindakannya ketika melakukannya. Sebenarnya sesiapa sahaja boleh bagi pelbagai alasan yang tidak munasabah semata-mata untuk menghalalkan perbuatannya dan mengatakan dirinya tidak bersalah.

6. Lebih mendukacitakan apabila pelaku mengheret sekali nama kedua ibubapanya hanya untuk melepaskan diri apabila keesokkannya membuat kenyataan secara terbuka melalui satu video selepas tindakan melampaunya itu viral ke seluruh negara dan mendapat kecaman netizen. Alasan keluarganya dari latarbelakang yang kuat berpegang kepada agama, jelas bercanggah dengan penampilan free hair.

7. Perbuatan melampau pelaku seolah-olah mahu memberitahu masyarakat bahawa free hair tidak salah di sisi agama Islam dan orang Islam yang berpegang kuat kepada agama pun tidak mewajibkan diri untuk menutup aurat. Massage yang hendak disampaikan seperti mahu memberitahu kepada hadirin bahawa hijab bukannya dari ajaran agama Islam.

8. Kalutnya semakin terserlah apabila usaha mahu membela dirinya menjadi bertambah kelaru dan keliru apabila satu demi satu dan bertimpa timpa kesalahan dilakukannya setiap kali pelaku cuba mahu membersihkan namanya dan setiap kali itu juga terbongkar kejahilan-kejahilan pada dirinya.

9. Kepada yang lain, ingatlah pesanan Al Qur’an dalam Surah Al An’aam iaitu hukum hakam dalam agama Islam bukannya perkara main-main yang boleh sesuka hati dijadikan bahan senda gurau. Insiden ini menzahirkan kegagalan sistem pendidikan apabila agama dijauhkan daripada masyarakat Islam. Keutamaan dalam mempelajari agama tidak ditekankan hingga melahirkan generasi-generasi kurang ajar sedangkan Islam mengajar umatnya berakhlak mulia dan Islam adalah satu-satunya agama yang benar yang diterima oleh Allah SWT.

“Innaddina Indallahil Islam” Sesungguhnya agama yang diridhoi Allah hanyalah Islam.

Dikirim oleh Haji Rashidi Haris yang merupakan Ketua Media PEMBELA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *