Mon. Jan 30th, 2023

KEMAMAN – Kemeriahan sambutan masyarakat memenuhi pawagam bagi menonton filem Mat Kilau terus terasa. Pelbagai pihak terus tampil dan mengambil inisiatif dalam penajaan filem ini agar dapat ditonton secara lebih meluas di kalangan masyarakat.

Terkini, Kelab Remaja ISMA (KRIM) Cawangan Kemaman telah mengumpulkan lebih 260 orang bagi menyaksikan filem tersebut. Majoriti yang hadir meyaksikannya adalah di kalangan pelajar-pelajar sekolah menengah di sekitar Kemaman.

Mereka tiba di Mesra Mall, Kerteh seawal jam 3 petang, meskipun tayangan bermula jam 5 petang selepas Solat Asar. Rata-rata merasa teruja untuk menyaksikan tayangan filem yang menjadi fenomena di seluruh negara itu.

Menurut Pengerusi KRIM Kemaman, merangkap pengarah program, Saudara Amir Izuddin, waktu tayangan tersebut telah dirancang bermula jam 5 dan berakhir jam 7 petang.

“Kita sudah rancang awal program ini di bawah anjuran KRIM dan Pemuda ISMA Kemaman”, katanya. “Namun kita pastikan juga remaja-remaja kita tidak mengabaikan solat Asar dan Maghrib, ia lebih mudah kerana kami telah pun menempah dewan tayangan lebih awal”

Pelajar-pelajar kelihatan bersemangat dengan sebahagian besar berbaju melayu, malah ada yang bertanjak. Terdapat juga yang turut mempamerkan beberapa langkah silat sebelum masuk ke panggung.

“Melayu takkan kekal mulia kerana adat, kesultanan dan budaya semata-mata. Tapi akan gagah mulia kerana Aqidah jika berpegang teguh dengan Islam. Di situlah terletaknya mulia orang-orang Melayu yang sebenar”. Ini antara mutiara kata yang diharakan dapat diserap ke dalam jiwa remaja-remaja ini.

Turut hadir bersama ketika tayangan itu, YDP Isma Kemaman Saudara Firdaus Muhamad dan Pengerusi Persatuan BUDI Kemaman yang juga bekas Imam Masjid Geliga, Al Fadhil Ustaz Mohd Zulkifli Ibrahim dan juga Pengetua-pengetua sekolah menengah yang terlibat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *