Sun. Dec 4th, 2022

Alhamdulillah selesai sudah program Hari Peradaban Bangsa Melayu (HPBM). Kepincangan dalam sesebuah program adalah perkara biasa, maka begitu juga HPBM.

Tetapi kesannya amat ketara, dan amat terasa kepada mereka yang sayangkan agama dan bangsa. Ia bermanfaat kepada ibubapa dan anak-anak mereka, kerana motif utama HPBM ini adalah untuk anak-anak bangsa Melayu mengimbas kembali aktiviti-aktiviti sihat bangsa zaman dahulu buat generasi sekarang dan akan datang. Ternyata program HPBM adalah satu program yang amat bagus untuk generasi muda sekarang.

“Melentur Buluh Biar dari Rebungnya”

Seharusnya, ibubapa dan para guru sekolah mengambil perhatian program HPBM kerana apa yang diketengahkan adalah mengenai peradaban bangsa Melayu! Dengan menonjolkan kembali adab dan adatnya, alat permainannya serta lain-lain aktiviti bangsa Melayu, sudah tentu segalanya tidak mungkin dilupakan!

Kita yang lahir pada generasi sebelum kecanggihan telefon bimbit bernasib baik kerana melalui zamannya dan masih ingat semuanya. Namun bagaimana nasib anak cucu cicit keturunan kita yang akan datang kelak, dapatkah mereka menjiwainya?

Walaupun kelihatan program HPBM yang julung kali diadakan baru-baru ini seperti mendapat sambutan dingin oleh orang ramai, tiada sokongan atau sebagainya. Namun tetap optimis apabila melihat kesannya kepada ibu bapa dan anak-anak mereka. Semasa pertunjukan, ada kalangan ibu bapa yang menyuruh anak-anak mereka ke tengah gelanggang supaya bersama-sama dengan guru-guru silat bersilat. Anak-anak mereka juga mencuba semua permainan yang dipamerkan. Alangkah terharunya melihat suasana sedemikian.

Mungkin kesan HPBM kepada golongan dewasa tidak seberapa, tetapi kesannya kepada kanak-kanak serta ibubapa yang anaknya yang masih kecil dipercayai memberi kesan yang mendalam.

Perancangan harus bermula 6 bulan sebelum hari kejadian. Penyusunan bersepadu yang lebih awal perlu dilakukan jika mahu cemerlang di tahun hadapan. Kemungkinan besar HPBM pada tahun hadapan, lebih ramai pihak yang mahu terlibat. Tidak mustahil HPBM tahun hadapan akan lebih besar dan meriah.

Berkenaan cadangan mengadakan pertandingan lagu memang tidak sesuai. Tetapi mungkin boleh dimeriahkan dengan dendangan dan hiburan oleh kalangan ahli seni lagu tradisional yang mahir dengan lagu-lagu Melayu asli.

Susunatur program dan aktiviti juga dicadangkan dibuat secara berperingkat mengikut waktu dan jam, supaya semua hadirin dapat melihat satu persatu aktiviti-aktiviti yang dipersembahkan, interaksi ini lebih berkesan kepada penonton. Kalau dilakukan serentak, akan ada yang tidak dapat menonton kerana bertindih dengan aktiviti yang lain.

Konsep duduk keliling dalam bulatan untuk menonton itu amat baik. Pertunjukan silat satu atau dua jam di tengah padang membuatkan semua hadirin berasa puas melihatnya, termasuk permainan tradisi seperti sepakraga dan gasing.

Cadangan supaya program diadakan di sekitar kotaraya juga baik tetapi lebih baik lagi jika dilakukan di padang sekolah. Ia boleh menarik ribuan pengunjung.

Sangat bersemangat apabila melihat budak-budak kecil yang hadir, kebanyakannya memakai tanjak. Bukan suatu yang mudah hendak menyuruh anak-anak kita bertanjak berbusana apatah lagi ketika bertandang ke majlis sebesar ini.

Inilah pandangan biasa dan semangat yang terhasil daripada aura Hari Peradaban Bangsa Melayu yang lalu!

Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar.

Ditulis oleh Datuk Nata Ahmad yang merupakan Presiden Pertubuhan Kasih Setia Malaysia merangkap Pengasas Utama Pertubuhan Kasih Setia Malaysia

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *