Wed. Dec 6th, 2023

KUALA LUMPUR – Parti Islam Se-Malaysia (PAS) memberikan respon terhadap kritikan umum mengenai penganjuran konsert yang telah dan bakal berlangsung di Malaysia.

Menurut hantaran tersebut, mereka menerangkan mengenai persoalan “PAS duk dalam kerajaan pun, konsert maksiat masih berleluasa!” dengan mengulas pendapat ulama konteporari tersohor Dr. Yusuf al-Qaradhawi mengenai usaha mencegah kemungkaran.

“Dr. Yusuf al-Qaradhawi berpendapat dalam usaha mencegah kemungkaran, rakyat tidak boleh hanya seronok menunding jari kepada pemerintah, sebaliknya bertanya kepada diri sendiri kenapa kemungkaran itu masih berlaku”

“Jawabnya kerana kerajaan yang menaja kemungkaran masih wujud”

Rentetan itu, mereka mengulas lanjut sebab kerajaan yang menaja kemungkaran masih wujud ialah kerana ia masih mendapat sokongan dalam setiap pilihan raya yang diadakan.

“Jelas di sini bahawa kita semua berperanan untuk menegakkan hukum Allah di tanah air ini baik pemimpin mahupun rakyat”

Hantaran tersebut turut memetik Dr. Yusuf al-Qaradhawi dalam Fiqh ad-Daulah, “untuk merubah kemungkaran yang dilakukan oleh pihak pemerintah, maka pihak yang bertindak merubah kemungkaran hendaklah mempunyai kekuatan yang boleh merubah kemungkaran itu”

Beliau menyatakan melalui 3 cara iaitu melalui kekuatan tentera, kekuatan kuasa rakyat dan akhir sekali ialah Parlimen dan Dewan.

Mengulas lanjut, kedua-duanya (Parlimen dan Dewan) memiliki kuasa perundangan, menggubal dan memansuhkan undang-undang selaras dengan keputusan suara majoriti yang diamalkan dalam sistem demokrasi sekarang.

“Golongan yang memiliki suara majoriti di Parlimen mempunyai keupayaan mengubah setiap kemungkaran yang berlaku melalui perantaraan perundangan yang padu”

“Untuk menegakkan hukum Allah yang kita tahu adil untuk semua ini kita memerlukan kebersamaan dan penyatuan antara parti-parti politik Melayu Islam”

“Kerana itu juga penting untuk kita memastikan Parlimen diisi oleh mereka yang faham agama dan ingin melaksanakan perintah agama (amar makruf nahi mungkar)”

Di akhir hantaran tersebut, orang ramai diseru untuk memanfaatkan undian untuk agama.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *