Sun. Dec 4th, 2022

KUALA LUMPUR – Aminuddin Yahaya, melepaskan jawatannya selaku Pengerusi gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) sebagaimana yang diumumkan melalui sebuah kenyataan media gabungan tersebut.

“Seluruh Ahli Sekretariat dan NGO-NGO di dalam gabungan PEMBELA ingin merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas segala jasa, sumbangan serta pengorbanan yang telah dibuat oleh Tuan Haji Aminuddin Yahaya sepanjang tempoh khidmat beliau di dalam Sekretariat,” dalam petikan kenyataan tersebut.

Sekretariat tersebut telah membuat keputusan untuk melantik Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar bagi menjalankan tugas-tugas Pengerusi PEMBELA berkuatkuasa 5 Oktober 2022 selama sebulan.

Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar bersama barisan ahli Sekretariat sedia ada akan mengetuai penstrukturan semula dasar, polisi, halatuju dan keanggotaan Sekretariat PEMBELA dalam tempoh yang telah ditetapkan tersebut bagi memastikan PEMBELA meneruskan kesinambungan perjuangan untuk kedaulatan Agama, Bangsa dan Tanah Air.

“Seluruh Ahli Sekretariat PEMBELA mendoakan agar segala usaha yang diberikan Tuan Hj Aminuddin Yahaya dan Dato’ Zainul Rijal Abu Bakar dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air terus mendapat keredhaan Allah SWT, sokongan aktivis yang seangkatan dan seluruh rakyat Malaysia”

Aminuddin Yahaya merupakan antara pengasas gabungan pertubuhan Islam yang diasaskan pada tahun 2006 tersebut.

PEMBELA merupakan sebuah gabungan NGO-NGO Islam yang terkehadapan memperjuangkan agenda mempertahankan Islam dan isu-isu kenegaraan.

Antaranya menjadi penganjur utama Himpunan Sejuta Umat Bantah ICERD 812, Kes Murtad Lina Joy, Kes Penyalahgunaan Kalimah Allah, menggerakkan arus bantahan pengiktirafan UEC dan banyak lagi.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *