BANGI, Jumaat – Tindakan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) menyenaraikan dua anggota bukan Melayu sebagai ahli dalam Majlis Penasihat Pendidikan Kebangsaan (MPPK) bagi sesi 2023 – 2025 disifatkan tidak mencukupi.
Perkara itu disuarakan Timbalan Pengerusi DAP, Dr P. Ramasamy yang berpendapat, sangat penting untuk mempunyai wakil yang bercakap mengenai masa depan sistem pendidikan vernakular yang wujud bersama sistem kebangsaan.
Menurut Ramasamy, beliau tertanya-tanya sekiranya dua wakil bukan Melayu itu mencukupi untuk mewakili dan bercakap mengenai sistem pendidikan negara dengan penekanan khusus diberikan kepada pendidikan vernakular yang terbahagi kepada dua komponen iaitu sekolah Mandarin dan sekolah Tamil.
“Saya berharap MPPK tidak mengabaikan peranan sistem pendidikan vernakular di negara ini terutamanya memandangkan tahap enrolmen yang tinggi,” katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di Facebook rasminya hari ini.
Ramasamy berkata demikian bagi mengulas lanjut mengenai pelantikan lapan tokoh dan individu termasuk dua anggota wakil bukan Melayu bagi menggangotai MPPK oleh KPM.
Dalam pada itu, dua anggota wakil bukan Melayu yang menganggotai MPPK adalah Datuk Dr Mehander Singh Nahar Singh dan Chee Poh Kiem.
“Hanya dua orang bukan Melayu telah dipilih. Sekali lagi, saya tidak pasti tentang kelayakan mereka.
“Saya harap tidak ada peninggalan serius yang disengajakan dalam mengabaikan perwakilan masyarakat bukan Melayu,” katanya lagi.
Tambah Ramasamy, beliau juga tidak bersetuju MPPK ditubuhkan dengan matlamat jelas iaitu perlu terlibat dalam isu mengurangkan beban tugas guru berlebihan yang sepatutnya dalam urusan pentadbiran dan boleh diselesaikan oleh pegawai-pegawai kementerian serta pihak sekolah.
Jelasnya, MPPK perlu mengambil pendekatan yang luas serta menyeluruh dalam peranannya sebagai penasihat dan harus memastikan sistem sekolah bergerak ke arah yang betul serta mencerminkan permintaan global.
Terdahulu, Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek mengumumkan senarai sembilan anggota MPPK yang baharu dengan bekas Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Amin Senin dilantik sebagai Pengerusi.
Dalam pengumuman sama, beliau berkata, semua yang terpilih mempunyai kepakaran dan daripada pelbagai latar belakang berbeza dalam bidang masing-masing.
MPPK ditubuhkan pada November 2010 mengikut Seksyen 10, Akta Pendidikan 1996 atau Akta 550.
Kredit berita: TV Pertiwi